KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama menjelaskan bahawa menterinya, Teresa Kok tidak menjuruskan bahawa sebuah unit di bawah kementerian itu terlalu lewat atau perlahan dalam memberi respons kepada permintaan pembeli China untuk membeli minyak sawit.

Kementerian itu berkata Teresa sebenarnya, merujuk kepada kegagalan oleh syarikat yang terlibat dalam perbincangan perdagangan dengan China kerana lambat dalam maklum balas kepada permintaan yang dibuat oleh pembeli dari negara berkenaan.

Penjelasan itu dibuat berikutan satu artikel berita semalam yang memetik Kok berkata bahawa beliau telah menjumpai surat yang dialamatkan kepada sebuah unit di bawah kementeriannya oleh pembeli China yang ingin meningkatkan jumlah komoditi yang ingin dibeli, tetapi unit berkenaan tidak bertindak balas kepada permintaan tersebut.

"Menteri sentiasa menghargai pegawai-pegawai kementerian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Minyak Sawit Malaysia sentiasa bertungkus lumus untuk mempromosikan minyak sawit di seluruh dunia," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Eksport minyak sawit Malaysia dan produknya meningkat 8.6 peratus kepada 12.44 juta tan daripada Januari hingga Jun 2018 berbanding 11,.5 juta tan metrik pada tempoh yang sama tahun sebelum ini. – Bernama