KUALA LUMPUR - Tindakan tegas tidak perlu dikenakan terhadap Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang menulis surat menegur aktivis, Datin Marina Mahathir berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pandangan itu disuarakan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof Dr Adeeba Kamarulzaman yang turut menegur doktor tersebut baru-baru ini.

Menurutnya, sebagai seorang pengamal perubatan, Dr Nur Ilyani seharusnya membezakan pandangan peribadi dengan tugas hakiki seorang doktor.

“Bila saya memberi teguran kepada beliau, ia hanyalah sebagai peringatan kepada semua doktor bahawa kita mempunyai duty of care dan duty of trust.

“Apa yang para doktor risaukan dengan kenyataan beliau adalah apabila beliau bersikap menghakimi dan ditonjolkan kepada orang awam.

“Begitupun, saya berpendapat tidak perlu tindakan tegas diambil kepada beliau sebab di Malaysia, kita terlalu cepat nak mengambil tindakan,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara utus surat jeoada Marina, doktor diadu kepada DPA]

[ARTIKEL BERKAITAN: Petisyen solidariti untuk Dr Nur Ilyani diwujudkan]

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri 1st Malaysia Men’s Health Conference 2018, di sini, hari ini.

Tambahnya, sebelum menjadi doktor, mereka berjanji untuk tidak mendiskriminasikan pesakit dan amalan itu perlu diteruskan.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengulangi kenyataan kementerian yang enggan mendiskriminasikan pesakit tidak kira agama, bangsa dan kaum.

Begitupun, beliau enggan kenyataan Dr Adeeba dikaitkan dengan pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menegaskan kementerian tidak mengamalkan diskriminasi.

“Kementerian tetap dengan pendirian tidak diskriminasi. Saya rasa kita tak perlu kaitkan kenyataan beliau dengan kementerian,” ujarnya.

Nama Dr Nur Ilyani hangat dalam media sosial selepas beliau menegur Marina berkaitan LGBT di mana catatan beliau dalam Facebook dikongsi ribuan pengguna laman sosial.

Malah, petisyen juga dibuat bagi menyatakan sokongan kepada Dr Nur Ilyani.