KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia sudah cukup cerdik untuk menentukan nasib negara sendiri dan tidak memerlukan campur tangan luar, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi. 

Beliau berkata rakyat mempunyai kuasa menerusi pilihan raya untuk menentukan siapa yang berhak mentadbir negara sekali gus mencerminkan proses dan amalan demokrasi di Malaysia.

“Apa perlunya kita hendak melibatkan orang asing dalam politik negara kita. Biarlah rakyat tentukan proses politik dan demokrasi di negara kita ini.

Pada saya, mereka (orang asing) pun ada masalah mereka sendiri dan kenapa mereka hendak campur urusan negara kita.

“Pada saya, amat memalukan apabila membawa orang asing untuk cuba campur tangan seolah-olah rakyat kita ini tidak cerdik dan tidak pandai untuk menentukan nasib negaranya sendiri,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku Adab dan Peradaban, sebuah karya pengiktirafan Syed Muhammad Naquib al-Attas di sini,semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas larangan masuk oleh pihak Imigresen kepada Senator Australia Nick Xenophon yang tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) awal pagi ini.

Puad berkata tindakan pihak berkuasa menahan senator itu tentu mempunyai asas dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat tujuan kedatangan Xenophon ke negara ini.

“Penahanan itu sudah tentu diserahkan kepada kebijaksanaan polis untuk menyiasat, dan kalau boleh, kita harap hasilnya nanti mesti didedahkan supaya rakyat tahu apakah tujuannya masuk ke negara kita ini untuk melakukan kerja subversif dan cuba mewujudkan suasana perpecahan di negara kita,” katanya.

Sementara itu, Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) memuji tindakan tegas melarang senator Australia tersebut memasuki negara ini dan menghantar beliau pulang ke negaranya.

Presiden KWMM Dzulkarnain Taib menganggap Xenophon adalah pengacau yang cuba masuk campur urusan dalam negara, khususnya proses Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

“KWMM yakin Xenophon bertindak atas kapasiti peribadi yang didalangi oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Bersih,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA NERUS - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kesediaan Tun Dr. Mahathir Mohamad berdebat dengan sesiapa sahaja daripada kerajaan termasuk beliau pada forum terbuka, Nothing To Hide 2.0, yang dijangka berlangsung pada 13 Ogos ini sebagai peluang terbaik.
  • KUALA NERUS - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kesediaan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berdebat dengan sesiapa sahaja daripada kerajaan termasuk beliau sebagai peluang terbaik.
  • SHAH ALAM - Pas mencabar Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal (Jasa), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi untuk mendesak kerajaan mendedahkan laporan audit 1MDB, sekiranya yakin tiada salah laku.
  • KUALA LUMPUR - Program 'Doa Untuk Malaysia' yang bakal diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 di Dataran Merdeka pada 13 Ogos ini menyasarkan penyertaan 150,000 orang.
  • PETALING JAYA - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail digesa bertanggungjawab terhadap pembocoran maklumat sulit oleh Wall Street Journal (WSJ) sehingga mengakibatkan spekulasi negatif terhadap imej Datuk Seri Najib Tun Razak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.