KUALA LUMPUR - Tawaran untuk tidak menaikkan tol selama tempoh 20 tahun menerusi pembidaan pengambilalihan Lebuhraya Utara Selatan  (PLUS) boleh merisikokan keselamatan jalan raya kerana ia akan menyukarkan untuk membiayai peningkatan ketara kos penyenggaraan, demikian menurut seorang pakar keselamatan pekerjaan.

Dr Mohamad Syazli Fathi, Timbalan Pengarah Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan  Universiti Teknologi Malaysia, skeptikal dengan tawaran itu dalam keadaan peningkatan berterusan harga kos bahan mentah, terutamanya bitumen dan simen.

Ini, ditambah dengan kenaikan kos penyenggaraan dan operasi akan menjejaskan apa juga pendapatan tambahan yang diperoleh daripada peningkatan trafik sepanjang lebuh raya sejauh 772 kilometer itu yang merentangi semenanjung Malaysia, katanya.

"Ada yang perlu dilepaskan sekiranya tiada kenaikan tol, sekali gus merisikokan keselamatan jalan raya,” katanya kepada  Bernama dalam perdebatan umum mengenai rancangan oleh Maju Holdings Sdn Bhd yang mengumumkan bidaan berjumlah RM36  bilion untuk mengambil alih PLUS daripada pemiliknya sekarang, UEM Group dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menerusi bidaan itu, Maju Holdings menyatakan ia tidak akan menaikkan bayaran tol bagi tempoh 20 tahun.

Dr Syazli, yang mengetuai Kumpulan Penyelidikan Kualiti Pembinaan dan Penyenggaraan (CQM) universiti itu berkata penyenggaraan lebuh raya utama seperti PLUS tidaklah semudah seperti yang disangkakan oleh orang ramai memandangkan hakikat bahawa semakin rancak aktiviti ekonomi dan pembinaan dengan pembukaan kawasan-kawasan baharu, kesan alam sekitar akan menjadi lebih buruk dengan penggunaan lebuh raya yang terlalu kerap.

Apa yang tidak disedari oleh ramai orang ialah perubahan iklim yang boleh menjadi lebih ketara pada masa depan, katanya.  

"Sebagai contoh, biasanya apabila kita memperkatakan mengenai banjir yang berlaku saban tahun kita hanya memikirkan negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan danTerengganu. Tetapi kini banjir juga berlaku di Johor, Kedah dan beberapa negeri lain," katanya.

PLUS juga terpaksa menanggung kos tinggi untuk penurapan dan penyenggaraan pelbagai cerun dengan menggunakan kaedah teknologi terkini seperti penggunaan sensor (pengesan) yang menjadi semakin mahal.

Pengguna lebuh raya juga perlu mengambil kira perkara ini untuk melihat kewajaran mengapa kenaikan tol tidak boleh dielakkan.

"Meskipun semua ini, PLUS hanya menaikkan tol sebanyak 5.0 peratus setiap tiga tahun sekali berbanding sehingga 40 peratus oleh 17 pemegang konsesi lain dan tidak pernah menaikkan tol sejak 2005. Saya percaya mereka boleh berbuat demikian kerana UEM dan KWSP merupakan entiti milik kerajaan.

"Jadi ia perlu kekal dalam kawalan kerajaan dan dan demi kepentingan 14.5 juta ahli KWSP yang mendapat manfaat daripada pelaburan ini," kata Dr Syazli. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.