PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa tiada PRK akan diadakan bagi kerusi Dun Nenggiri, Kelantan bagi mengisi kekosongan luar jangka selaras dengan peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Ahli SPR, Md Yusop Mansor dalam kenyataan hari ini berkata, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kob pada  Khamis  lalu berhubung kekosongan kerusi tersebut, tetapi tidak menyatakan keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka itu.

Pada 11 Julai lalu, Abdullah mengumumkan kerusi Dun Nenggiri kosong berikutan penyandangnya dari BN, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani, 55, diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi  Malaysia cawangan Selangor, sekali gus hilang kelayakan sebagai Adun berkuat kuasa pada tarikh tersebut.

Md Yusof berkata, peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan di bawah Perkara 46(5) menyatakan bahawa kekosongan luar jangka bagi kerusi Dun tidak boleh lagi diisi dalam tempoh dua tahun sebelum mandat yang diberikan kepada kerajaan negeri berakhir, melainkan Speaker memberitahu secara bertulis kepada SPR akan keperluan pengisian kekosongan luar jangka tersebut.

"Berdasarkan surat pemakluman yang diterima, Speaker Dewan Negeri Kelantan tidak menyatakan keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka itu,” katanya.

Md Yusop berkata, SPR memutuskan tiada PRK untuk Dun Nenggiri memandangkan tempoh mandat Dun Kelantan pada PRU13 iaitu pada 2013, melebihi tempoh tiga tahun dan tiada pemberitahuan oleh Speaker mengenai keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka itu.

Pejabat Speaker Dun Kelantan menerima surat pemakluman mengenai status Mat Yusoff daripada Jabatan Insolvensi pada 28 Mei lalu.

Menurut Perkara 31(1)(b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, seseorang yang muflis dan masih belum diselesaikan tidak layak menjadi ADUN Kelantan. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkenalkan kaedah ‘urutan jari’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi mengelak sebarang penipuan semasa proses pembuangan undi.
  • PUTRAJAYA - Penggunaan perkhidmatan Pos Malaysia Bhd bagi urusan penghantaran kertas undi pos kepada pengundi luar negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mengambil kira aspek ketelusan memandangkan ia pihak berkecuali.
  • PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengundang pemerhati pilihan raya antarabangsa bagi meninjau ketelusan proses pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang sepertimana yang dilakukan pada PRU terdahulu, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
  • SHAH ALAM - Rakyat diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana saranan atau kempen mempromosikan tindakan untuk merosakkan undi pada PRU14.
  • KUALA LUMPUR - Segala tindakan yang diambil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah mengikut peruntukan undang-undang.