SHAH ALAM – Bermula 10 November 2018, pengeluar minuman kesihatan probiotik Yakult akan berhenti menyediakan penyedut minuman plastik bersama produk minuman susu kultur mereka, Yakult Ace dan Yakult Ace Light.

Produk minuman Yakult yang dijual sebelum ini disertakan bersama penyedut minuman yang dibaluti plastik dan dilekatkan pada setiap botol.

Langkah menghentikan penggunaan penyedut minuman ini akan menyumbang kepada pengurangan sebanyak kira-kira 150 juta penyedut minuman plastik setiap tahun.

Menurut Pengarah Urusan Yakult (Malaysia), Hiroshi Hamada, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat tersebut untuk mengurangkan penggunaan plastik.

“Kami tidak akan menggantikan penyedut minuman plastik semasa dengan sebarang penyedut minuman plastik alternatif.

"Kami menggalakkan pengguna membuka penutup aluminium dan minum terus dari botol Yakult, sama seperti yang kami lakukan di Jepun dan di negara-negara lain.

"Rasa Yakult sebenarnya lebih menyegarkan sekiranya diminum dengan cara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Minuman susu kultur Yakult kini dijual di 38 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.

Kata Hiroshi, hanya produk di Malaysia dijual bersama penyedut minuman, untuk memenuhi jangkaan rakyat tempatan.

"Ini kerana kebanyakan produk minuman di pasaran menyediakan penyedut minuman plastik.

"Minuman Yakult dihasilkan sepenuhnya di Malaysia di kilang pengeluaran teknologi tinggi di Seremban," katanya lagi.