SHAH ALAM - Kerajaan boleh memberi apa jua alasan termasuk hutang negara yang tinggi namun tiada kompromi dalam soal pendidikan.

Setiausaha Agungnya Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnul Haniff Harun menyifatkan pendidikan mencorak masa depan negara dan kerajaan bertanggungjawab memastikan tiada yang tercicir.

“Dalam konteks kerajaan sebut hutang negara banyak dan sebagainya, pada saya  kerajaan boleh nak beri apa jua alasan tetapi pada saya sebagai wakil MBM dan belia secara keseluruhannya, dalam isu pendidikan tidak boleh dikompromi.

“Benda lain kita boleh terima lagi tapi dalam konteks pembangunan pelajar, pendidikan negara isu ini tidak boleh dikompromi. Waima apa alasan sekalipun, kerajaan harus membantu untuk memastikan tidak ada yang tercicir,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan perlu memandang serius soal pendidikan supaya semua rakyat di negara ini berada dalam arus pembelajaran yang sepatutnya.

“Kerajaan melihat kononnya nak menjimatkan duit negara dan sebagainya tapi kita lupa mereka yang tidak ada tempat dalam arus pembelajaran esok akan menjadi liabiliti kepada kerajaan.

“Kita terpaksa menanggung kos-kos yang lebih besar...maaf cakaplah mana-mana yang mungkin terlibat dengan anasir-anasir negatif, masuk penjara dan sebagainya. Kos ini lebih besar daripada kos yang kita bincangkan hari ini,” katanya.

Sebelumnya beliau diminta mengulas soal tuntutan Majlis Perundingan Permuafakatan Siswa Siswi Felda Kebangsaan agar kerajaan mengkaji semula kaedah pembayaran balik  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dianggap tidak wajar

[ ARTIKEL BERKAITAN: Mahasiswa Felda tuntut kaji semula bayaran hutang PTPTN]

Menurut Hasnul, pendirian tersebut senada dengan kenyataan MBM sebelum ini di mana pihaknya berharap kerajaan kembali kepada janji asal PH.

“Kita harap menteri mengotakan janji sebelumnya yang mengatakan gaji di bawah RM4,000 tak perlu bayar lagi, gaji lebih RM4,000 baru bayar balik pinjaman.

“Pinjaman pendidikan wajar dibantu. Ini kerana, sebagai sebuah kerajaan berkebajikan, hak rakyat bagi mendapatkan pendidikan, keselamatan dan kesihatan adalah di bawah tanggungjawab kerajaan yang memerintah,” katanya.

Sebelumnya kerajaan dalam Belanjawan 2019 mengumumkan bermula tahun depan pelaksanaan pemotongan gaji akan dibuat kepada peminjam PTPTN dengan gaji melebihi RM1,000.

[ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2019 : Potongan gaji galak bayaran balik PTPTN]

Katanya, kerajaan hari ini sewajarnya meneruskan sebarang dasar positif yang dibuat kerajaan sebelumnya.

“Dulu kerajaan berikan Kad Siswa sebanyak RM250 setahun kepada mahasiswa cuma saya ingat  pendekatan sama juga perlu digunakan kerajaan baharu ini supaya dapat mengurangkan beban mahasiswa.

“Pada saya benda baik yang pernah dilakukan kerajaan dahulu elok diteruskan. Malah kalau mahu lebih baik, elok ditambah kepada RM300 melihat kepada kos sara hidup dan peningkatan harga barang hari ini yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada mahasiswa untuk membeli kelengkapan belajar,” katanya.