KUALA LUMPUR - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menegaskan tiada diskriminasi gender dalam menentukan kenaikan pangkat Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). 

Katanya, perkara itu boleh dilihat berdasar pertambahan jumlah pegawai wanita yang dipilih bagi kenaikan pangkat dalam perkhidmatan itu dan jabatan kerajaan. 

"Antaranya boleh dilihat sekarang ramai Ketua Setiausaha (KSU) terdiri daripada wanita, ada juga menteri wanita dan anggota Parlimen wanita. 

"Setiap kenaikan pangkat bagi pegawai PTD mengambil kira kriteria yang telah ditetapkan dan perbezaan jantina langsung tidak diambil kira," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) yang mahu tahu sejauh manakah perbezaan jantina mempengaruhi proses kenaikan pangkat pegawai PTD selain laporan sulit ketua jabatan masing-masing. 

Terdahulu, menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul Abdul (BN-Sungai Petani), Shahidan berkata usaha berterusan sentiasa dibuat bagi memastikan pegawai PTD yang betul-betul layak mendapat kenaikan pangkat berdasarkan merit, prestasi pegawai, Laporan Penilaian Prestasi Tahunan dan kekananan.

Menjawab soalan tambahan Johari berhubung penyambungan khidmat pegawai bersara, Shahidan berkata perkara itu masih berlaku berdasar keperluan jabatan.

Bagaimanapun, katanya, pelantikan mereka adalah secara kontrak dan tidak memberi kesan kepada kenaikan pangkat pegawai-pegawai lain. 

Dalam pada itu, Shahidan berkata, sehingga kini terdapat 9,717 PTD yang sedang berkhidmat manakala 1,246 pelantikan baharu diperlukan.

Katanya, walaupun perjawatan dalam jabatan kerajaan dibekukan, namun pengambilan baharu perlu berdasarkan keperluan kepada perkhidmatan. - Bernama