KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pejuang Rukun Negara dan Perlembagaan menggesa agar Lembaga Tabung Haji (TH) mengendalikan bakal jemaah Haji Visa Furada (visa urusan sendiri) sekali gus memudahkan peluang bakal jemaah yang kurang berkemampuan untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Abu Backer Sidek, berkata, keenganan TH melaksanakan urusan bagi proses surat kelulusan yang telah diterima rakyat seolah-olah merampas peluang tersebut dari rakyat.

Menurutnya, TH di bawah kerajaan baharu sepatutnya lebih peka dan membantu memudahkan rakyat bukannya mengambil tindakan yang merugikan.

"Saya difahamkan Kedutaan Saudi telah memberi kelulusan 500 visa dan mungkin menjangkau ke 1,000 tetapi mereka yang terima surat ini hanya mampu melihat surat kelulusan sahaja jika tidak mampu kerana TH tidak mahu mengendalikan mereka.

"Ada kumpulan seperti pesara polis, kakitangan kerajaan, guru-guru, dan invidu yang menerima surat kelulusan ini bukannya golongan yang mampu untuk mengambil pakej mengerjakan haji dengan pihak swasta. Jadi mereka amat mengharapkan kepada TH.

"Pada saya, mereka seperti dikhianati oleh TH. Peluang itu dirampas kerana TH menutup pintu mengendalikan jemaah Visa Furada," katanya kepada Sinar Harian ditemui di Lobi Menara TH, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berusaha untuk menemui pihak pengurusan tertinggi TH bagi mendapatkan penjelasan dan status sebenar perkara berkenaan bagaimanapun gagal.

Beliau dalam pada itu menambah, TH wajar meneruskan proses bagi mengendalikan jemaah Haji Visa Furada bagi mengelakkan berlaku pembaziran.

"Menerusi sumber dalaman yang boleh dipercayai, saya dimaklumkan sekiranya TH tidak mengendalikan bakal jemaah visa Furada ini, akan ada 300 kekosongan katil yang telah ditempah. Nilai untuk satu katil adalah RM7,000. Jadi bayangkan berapa kerugian di situ.

"Jadi mengapa tidak TH teruskan sahaja pengendalian ini sekurang-kuranganya untuk tambahan satu lagi penerbangan," katanya.

Visa Furada adalah pemberian mutlak Kedutaan Saudi kepada mana-mana individu mahupun syarikat terpilih menawarkan pakej haji.

Sebelum ini, TH mengendalikan jemaah yang memperolehi Visa Furada dan membuat beberapa penerbangan tambahan bagi musim Haji.