KUALA LUMPUR - Kelab Perniagaan Asean (ABC) mengetuai satu degelasi peringkat tinggi melawat London baru-baru ini untuk meneroka peluang pelaburan dua hala antara Asean dan UK.

Sorotan utama lawatan itu termasuklah mesyuarat meja bulat dengan Setiausaha Komersial kepada Perbendaharaan Lord O’Neill of Gatley di pejabat Perdana Menteri Britain di Downing Street. 

O'Neill mempengerusikan mesyuarat meja bulat itu dengan perbincangan tertumpu kepada prospek unjuran pertumbuhan UK, dan pandangan negara itu tentang ekonomi global susulan kelembapan ekonomi China.

Panel itu juga membincangkan pungutan suara Kesatuan Eropah (EU) yang dijadual diadakan sebelum akhir 2017. 

Delegasi itu disertai perbadanan utama dari Asean, terutamanya dari Malaysia seperti CIMB Group, AirAsia, AirAsia X, Ayala Corporation, YTL Corporation, Malaysian Resources Corp Bhd, Amcorp Properties, SapuraKencana Petroleum, dan Astro.

"Kami komited untuk membangunkan Northern Powerhouse, dan mendapatkan pelaburan luar negara dalam beberapa projek utama Northern merupakan bahagian  penting rancangan kami.

"Itulah sebabnya mengapa kami menggalakkan perniagaan utama Asean untuk merebut peluang pelaburan menarik di sini dan di UK untuk menyokong  pembangunan prasarana utama kami, dan membantu mengembangkan ekonomi," kata O'Neill dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Setiausaha Negara UK bagi Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran, Sajid Javid berucap kepada delegasi itu pada Dialog UK-Asean anjuran Asia House  secara kerjasama dengan CIMB Asean Research Institute dan ABC.

"Asean, dengan penduduk seramai 600 juta orang merupakan satu dari pasaran paling pantas berkembang di dunia. Di sini, di UK, sebagai sebahagian dari EU,  kami menawarkan akses ke pasaran dengan populasi lebih 500 juta orang. Sesama kami, kami berkongsi akses ke pasaran yang besar yang menawarkan peluang perniagaan baharu dan menarik," katanya. 

Persidangan itu membahaskan topik-topik semasa seperti "Asean Politics of Uncertainty: What’s Going to Happen to AEC 2015?" dan "Developing Asean: Infrastructure Financing Opportunities".

Penceramah pada persidangan itu termasuklah Tan Sri Dr. Munir Majid (Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean), Tan Sri Tony Fernandes (CEO Kumpulan AirAsia), Gregory Hodkinson (Pengerusi Arup), David Sayer (Pengerusi KPMG LLP UK, Pasaran Pertumbuhan Tinggi), Lord Mandelson (Pengerusi Global Counsel),  dan Donald P. Kanak (Pengerusi Bukan Eksekutif Prudential Corporation Asia).    

Persidangan tersebut dihadiri wakil kanan daripada beberapa perbadanan terbesar UK, termasuk HSBC, Arup, Diageo, KPMG, BP, Liverpool FC, Lloyds, London  Stock Exchange, BAE Systems, Pinsent Masons, Prudential, Kroll, Eversheds, Matheson & Co, Dyson, Bupa, Aon, Standard Chartered, Amec Foster Wheeler dan The Royal Bank of Scotland. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Seramai 30 pegawai awam dan tentera, berpangkat Kapten dan setaraf daripada Kementerian Pertahanan negara-negara ASEAN berhimpun selama empat hari di Putrajaya bermula hari ini untuk Program Interaksi Pertahanan Asean Ke-2 (ADIP).
  • KUALA LUMPUR - Malaysia adalah pintu masuk India ke negara-negara Asean dan di luar darinya, memanfaatkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • IPOH - Penubuhan Pusat Islam, Keamanan Global dan Tanpa Keganasan Asean bukan dibuat atas desakan pihak luar tetapi ia merupakan komitmen kerajaan dalam usaha membanteras kegiatan militan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  • SHAH ALAM - Tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, dipercayai antara punca sesetengah rakyat terutama golongan pekerja yang memiliki caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mudah terpedaya untuk menyertai pelbagai skim pelaburan tidak sah atau diragui statusnya.
  • MANILA - Krisis pelarian Rohingya di Myanmar dijangka dibangkitkan pada Sidang Kemuncak Asean Ke-31 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang bermula di sini Ahad, dengan kemungkinan ia dibincangkan secara tertutup.