KUALA LUMPUR - Logo BN yang terpapar semasa siaran langsung televisyen ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2018 pada 27 Oktober lepas adalah tindakan yang tidak disengajakan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, pihak yang bertanggungjawab terhadap perkara tersebut telah pun tampil memberikan penjelasan dan memohon maaf kepadanya.

Kenyataan Pandikar itu dibacakan Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamed Said di Dewan Rakyat hari ini.

"Terdapat 804 paparan pembentangan yang telah digunakan semasa bentangan RUU Bekalan 2018 namun hanya satu slaid yang mengandungi logo BN terpapar pada skrin tersebut dan tiada mana-mana slaid yang lain. Penyediaan paparan pembentangan ini adalah sebagai sokongan visual kepada ucapan perdana menteri.

“Dalam hal ini pemaparan logo BN adalah tindakan yang tidak disengajakan dan terlepas pandang oleh pihak penyedia.

“Saya terima penjelasan yang dikemukakan dan pihak berkenaan juga memohon maaf kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas kesilapan tersebut,” katanya.

Parlimen sebelum ini mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan logo BN dalam Dewan Rakyat ketika pembentangan Bajet 2018 yang disiarkan secara langsung, 27 Oktober lalu.

Siasatan itu susulan usul yang dibuat Kasthuri Patto (DAP-Batu Kawan) agar perkara itu disiasat.

"Selepas belanjawan dibentang oleh perdana menteri, selepas ucapan beliau lambang BN terpapar dalam skrin di Dewan Rakyat. Adakah tindakan ini wajar dan dibenarkan di dewan yang mulia ini?

"Saya memohon budi bicara agar siasatan (diadakan) untuk mengenalpasti bagaimana logo sebuah parti politik boleh ada dalam dewan semasa persidangan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail kemudian bersetuju agar perkara itu disiasat.