KUALA LUMPUR – Tempoh 50 tahun perjanjian konsesi Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Banting ke Taiping adalah munasabah meskipun tempoh perjanjian itu agak panjang, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata ini kerana rundingan perjanjian itu telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk soal kadar tol yang munasabah serta pulangan modal kepada pihak pelabur.

"Kita boleh percepatkan tempoh (konsesi) itu tetapi apakah nanti rakyat bersedia menerima kadar tol yang tinggi?," katanya ketika sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan tambahan Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) sama ada kerajaan PH berhasrat mengkaji semula tempoh masa perjanjian konsesi yang diberikan kerana tempoh masa 50 tahun dilihat tidak munasabah.

Dalam pada itu, Mohd Anuar berkata projek lebuh raya WCE telah 60 peratus siap dan dijangka dibuka secara berperingkat tahun depan.

Katanya projek WCE yang sepatutnya siap pada April 2020 dijangka siap sepenuhnya pada 2022 disebabkan proses pengambilan semula tanah.

Projek WCE yang bakal menghubungkan kawasan seperti Hutan Melintang, Bagan Datuk, Teluk Intan, Lekir, Sitiawan, Parit dan Trong dilaksanakan melalui kerjasama pihak swasta iaitu syarikat West Coast Expressway Sdn Bhd dan Kerajaan Persekutuan.- Bernama