PUTRAJAYA — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Dalam Negeri kini mengadakan perbincangan bagi meneliti prosedur operasi standard (SOP) berhubung tindakan ke atas golongan orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat akan mengadakan perbincangan dengan pihak penguatkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewujudkan SOP itu.

“Tahap mentaliti, tingkah laku dan umur OKU termasuk autistik harus diperketatkan dan diteliti oleh pihak kementerian, JKM dan semua agensi penguatkuasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan kes seorang lelaki autistik berusia 22 tahun yang bertindak menyentuh dada seorang gadis berusia 23 tahun di sebuah restoran Subang Jaya, minggu lalu.

Dalam kes berkenaan, Yeoh berkata lelaki autistik dan gadis itu masing-masing adalah mangsa dan  semua pihak diminta berhenti membuat ‘komen jelek’ terhadap kedua-dua mangsa kejadian itu.

“Henti malukan mangsa… salahkan mangsa.  Saya dah lihat komen dalam talian,” kata beliau.

Yeoh berkata beliau telah berjumpa dengan gadis berkenaan dan keadaannya sangat traumatik. - Bernama