KUALA LUMPUR - Pemandu teksi konvensional dan  penyedia perkhidmatan pengangkutan dalam talian seperti Uber dan GrabCar disaran mencarum dalam Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membolehkan mereka menikmati faedahnya.

Pengerusi Anggota Lembaga Perkeso Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkata setakat ini penerimaan golongan itu terhadap skim berkenaan masih rendah.

“Kita tidak boleh menjangka bila kemalangan atau kejadian tidak diingini berlaku, jadi mereka (pemandu) dinasihatkan mengambil langkah proaktif dengan mendaftar di mana-mana cawangan Perkeso,” katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Deepavali 2017 di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri antara lain menyediakan faedah perubatan,  hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan mayat, kemudahan pinjaman pendidikan dan pemulihan jasmani, vokasional dan Program ‘Return to Work’  (RTW)”.

Skim itu memberi perlindungan kepada orang berinsurans yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit khidmat dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

Menurut Aseh, Perkeso turut giat melakukan pelbagai aktiviti promosi dan program turun padang bagi mempromosikan skim tersebut kepada golongan sasaran.

Skim di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lepas memberi perlindungan kepada pencarum selama 12 bulan merangkumi faedah tunai kepada pemandu teksi dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Terdahulu, seramai 80 individu terdiri daripada ibu tunggal, penjaga dan anak yatim piatu diraikan selain menerima buah tangan berupa wang tunai serta kerusi roda.

Aseh berkata program tanggungjawab sosial Perkeso itu bertujuan meraikan orang berinsurans dan orang tanggungan pekerja bersempena perayaan Deepavali yang bakal disambut 18 Oktober ini. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mewujudkan Pelan Induk Pelaburan Strategik selama lima tahun membabitkan semakan dasar, strategi portfolio dan pengurusan serta semua kelas aset dan pembolehubah.
  • KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) belum menerima maklum balas daripada kerajaan mengenai tuntutannya agar menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (MPGK) sejak Disember tahun lalu.
  • GEORGETOWN - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menyampaikan cek bayaran faedah pengurusan jenazah kepada keluarga T. Nhaveen, yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang Khamis lepas setelah cedera parah dipukul sekumpulan lelaki.
  • KUANTAN - Bekas pengawal keselamatan Tan Jan Fai yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan dua tahun lalu hari ini menerima faedah hilang upaya kekal RM92,933 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.