Teksi London jadi tarikan di Sinar Automart
$entry.content.caption.value

SHAH ALAM - Sebuah kereta klasik jenis Austin Morris tahun 1980 yang dijadikan sebagai teksi di kota London menjadi tarikan pengunjung Karnival Sinar Automart, hari ini.

Ramai yang tertarik dengan kehadiran kereta berwarna putih itu yang masih dalam keadaan baik walaupun sudah berusia lebih 32 tahun.

Selain kereta yang popular dengan gelaran 'teksi London' itu, pengunjung turut tertarik dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Hummer yang digunakan dalam siri penyiasatan popular, CSI.

Dua kenderaan tersebut antara puluhan kenderaan yang dipamerkan di tempat letak kereta Kumpulan Media Karangkraf, semalam sempena karnival tersebut.

Syarikat syarikat menjual kenderaan baru dan terpakai, karnival itu turut disertai individu yang mahu menjual kenderaan mereka.

Konsultan Pengiklanan Sinar Harian, Zulkhafle Jalil berkata, Sinar Automart tampil dengan konsep Iklan, Pamer dan Jual, di mana pelbagai kereta baru dan kereta terpakai menjadi tarikan utama pengunjung ke Karnival Automart.

Katanya, karnival itu akan diadakan dari jam 9 pagi dan 2 petang setiap Ahad dan Sinar Automart akan terus menampilkan pelbagai kereta antik dari semasa ke semasa.

“Sinar Automart menyediakan kemudahan ruang iklan bagi pemilik kereta yang berminat untuk menjual kereta masing-masing dengan harga iklan serendah RM106.00 untuk tiga kali keluaran iklan di dalam akhbar Sinar Harian.

“Pengunjung juga akan dapat membeli pelincir kereta Hyrax Oil yang dapat menjimatkan minyak pada harga promosi di karnival itu," katanya.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Menurut Zulhafle, Sinar Automart juga menawarkan percuma minyak pelincir Hyrax kepada lima pembeli pertama kenderaan, sama ada kereta atau motosikal di karnival itu.

“Pengunjung juga berpeluang mendapatkan tawaran harga menarik bagi nombor plat G1M yang dijual secara terus kepada pengunjung. Sebelum ini nombor itu hanya dijual melalui laman web www.g1m.com.my,” katanya.

Menurutnya, dengan tawaran harga berpatutan mereka yang berminat boleh menyertai Sinar Automart dan menjadikannya sebagai platform bertemu pelanggan secara terus.

"Karnival ini tidak terhad kepada kenderaan sahaja kerana pemilik motosikal dan kenderaan lain boleh menyertainya," katanya.

Selain pameran, ruang yang luas turut disediakan untuk pembeli memandu uji kenderaan yang dijual.

Pengunjung boleh membuat tempahan atau datang ke kawasan parkir Kumpulan Media Karangkraf, bagi mendapatkan tawaran istimewa Karnival Automart atau menghubungi Zulkhafle (019-2195877), Azliza (019-2297220) atau Azli (019-7071474).  


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.