KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mendukung kepastian hukum bagi penyelesaian pertikaian yang berkesan supaya ia terus kekal menjadi hab kewangan Islam yang utama, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour.

Katanya, kepastian hukum secara umumnya dikatakan menjadi tumpuan kepada peraturan perundangan.

"Adalah penting bahawa undang-undang mesti boleh diakses, jelas, boleh diramal dan rakyat harus yakin bahawa persoalan mengenai hak dan liabiliti akan ditentukan oleh kaedah yang memenuhi keperluan ini" katanya semasa berucap pada seminar Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia mengenai 'Aspek Praktikal bagi Penyelesaian Pertikaian dalam Kemudahan Kewangan Islam' di sini, hari ini.

Abdul Rasheed berkata dalam konteks kewangan Islam, tugas menegakkan kepastian hukum adalah lebih kompleks berikutan dua perkara.

"Pertama, prinsip-prinsip dan keperluan syariah mesti diselitkan dalam undang-undang yang ada daripada sumber-sumber agama.

"Kedua, huraian ini, yang ditulis sejak beberapa abad lepas, mesti digunakan mengikut konteks kewangan moden. Untuk keringkasan, saya akan rujuk kedua-dua aspek ini sebagai kepastian syariah," katanya.

Malaysia pada hari ini, telah diiktiraf oleh banyak negara luar disebabkan ia memiliki kerangka perundangan dan kawal selia yang komprehensif bagi kewangan Islam dan ini menyebabkan pasaran kewangan Islam baharu muncul melihat Malaysia sebagai model untuk dicontohi.

"Melihat kembali, saya percaya bahawa kepastian yang disediakan oleh rangka kerja perundangan dan kawal selia, kita telah menyumbang kepada pembangunan yang mantap dan progresif dalam sistem kewangan Islam Malaysia," katanya.

Dengan jumlah orang Islam merangkumi 24 peratus daripada penduduk dunia, aset kewangan Islam global berada pada AS$1.9 trilion (AS$1 = RM4.18) dalam 2016 dan diramalkan akan mencapai AS$3.2 trilion menjelang 2020.

"Ini adalah sangat besar dan merupakan pasaran yang amat cepat berkembang, potensinya lumayan. Institusi kewangan dan profesional perundangan Islam di Malaysia berpeluang untuk mengaut keuntungan tersebut, hanya jika mereka meletakkan diri pada kedudukan yang cukup baik untuk merebut peluang berkenaan," katanya.

Katanya, terdapat dua cabaran yang unik dalam kepastian syariah, yang mana keperluan syariah perlu diselitkan ke dalam undang-undang, serta digunakan sebagai penetapan kontemporari.

"Cabaran-cabaran ini menjadi lebih sukar selepas ditambah dengan perubahan pantas masa, pengembangan perniagaan yang lebih cepat serta pergerakan kewangan yang tidak statik.

"Jangkaan sekarang ini adalah supaya sistem perundangan kita memakai prinsip-prinsip syariah bagi memperkenalkan produk baharu dan pendekatan yang sesuai dengan masanya, sambil kekal jelas, fleksibel untuk inovasi tetapi tetap berpegang pada kerukunan agama," katanya.

Abdul Rasheed berkata ini adalah perintah tertinggi dan bidang kuasa yang berjaya mematuhi perkara ini, sudah pasti akan berada dalam kedudukan terbaik untuk mengambil kesempatan daripada ledakan gelombang kewangan Islam.

Kepastian pada sekitar peraturan syariah yang terpakai pada kemudahan kewangan Islam tertentu adalah amat penting, khususnya dalam konteks penguatkuasaan undang-undang sekiranya  berlaku ketidakpatuhan kepada keperluan berkaitan sariah, katanya.

"Ketidakpastian dalam mana-mana bahagian dalam bidang tersebut boleh menyebabkan para pelabur melihat kemudahan berkenaan sebagai instrumen berisiko tinggi, dan dalam kes yang agak ekstrem, mampu menyebabkan ketidakstabilan ke atas pasaran kewangan Islam secara umumnya," katanya.

Katanya, Malaysia perlu meningkatkan kepastian yang berterusan semasa ia melangkah ke hadapan dan ini memerlukan ia cemerlang pada peringkat individu dan institusi. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) mengalu-alukan pembentukan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) menyiasat secara bebas kerugian urus niaga mata wang asing (forex), sekali gus menyelesaikan kes lebih 25 tahun lalu.
  • SHAH ALAM - Pemuda Pas berpendapat ini adalah masa sesuai bagi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengkaji dan mengemukakan kerangka Dasar Monetari Islam yang lebih komprehensif.
  • KUALA LUMPUR - Wang kertas yang ditandatangani Gabenor Bank Negara (BNM) baharu, Datuk Muhammad Ibrahim dijangka diedarkan dalam masa dua hingga tiga bulan ini.
  • KUALA LUMPUR - Langkah mengejut Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) daripada 3.25 peratus kepada 3.00 peratus, mampu meredakan pasaran ketika keadaan ekonomi negara tidak menentu, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.