BANDAR SUNWAY - Pembaca setia Sinar Harian tidak melepaskan peluang menebus tiket Sunway Lagoon percuma untuk hari kedua memasuki taman tema sempena peraduan ‘Kumpul dan Menang Sinar Harian dan Sunway Lagoon’ di sini, hari ini.

Seorang pengunjung, Siti Afida Omar, 36, berkata, dia antara pelanggan setia Sinar Harian yang menebus apa sahaja peraduan yang dianjurkan oleh akhbar ini.

Menurutnya, dia tidak pernah berputus asa semata-mata untuk menebus tiket tersebut dan membawa keluarga beriadah di sini.

“Macam akak dan suami dah jadi macam rutin harian melihat peraduan yang ada di dalam akhbar ini dan ini antara cara kami gembira bersama keluarga.

“Kalau nak beli tanpa promosi mahal, jadi bila ada peraduan ini memang berbaloi dan ini adalah kali ketiga kami menebus tiket termasuk tiket Legoland yang ditawarkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui semasa bersiap untuk beriadah di taman tema tersebut.

Bagi seorang guru, Faradisa Nor Adzman berkata, beliau bersama 10 anak muridnya mengambil keputusan untuk menghabiskan hujung minggu di taman tema berkenaan sebagai salah satu aktiviti riadah.

Menurutnya, tidak dinafikan promosi itu memberi peluang kepada semua pengunjung untuk merasai pengalaman berharga di taman tema air terbesar itu.

“Memang semua tak sabar nak beriadah dan bergembira lebih-lebih lagi ada di antara kami ini tidak pernah datang.

“Apa yang saya lihat peraduan ini menarik dan memberi pengalaman berharga tidak kira peringkat umur,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran Sunway Lagoon, Michelle Gregory mengakui beliau terkejut melihat sambutan hari kedua itu masih menggalakkan apabila masih terdapat pembaca Sinar Harian yang datang memotong keratan akhbar sebelum menebus tiket.

Menurutnya, beliau turut mengajak pelanggan Sinar Harian mengambil peluang promosi 4-to-go  bernilai RM432 yang turut dipromosikan di Sinar Harian.

“Peluang keemasan ini sebagai hadiah di samping memberi peluang kepada pengunjung menikmati harga yang lebih murah berbanding biasa.

“Dalam pada itu, pada 17 Ogos sehingga 16 September Sunway Lagoon bakal melancarkan kempen ‘Proud to be Malaysian’ sempena Sambutan Hari Kemerdekaan.

“Dalam promosi itu, kita memberi peluang kepada warga emas untuk masuk percuma dengan pembelian satu tiket dewasa dan satu tiket kanak-kanak,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kerjasama bersama Sinar Harian bakal diteruskan apabila melihat kegembiraan setiap keluarga dan individu yang bersemangat menebus tiket memasuki taman tema berkenaan.

Katanya, dengan cara inilah, membolehkan mereka yang selama ini kurang berkemampuan untuk sama-sama tersenyum merasai pengalaman yang sangat berharga yang jarang mereka rasai.

Semalam, pengunjung sudah menunggu seawal jam 6 pagi di kaunter pintu utama Sunway Lagoon, bersebelahan kompleks membeli belah Sunway Pyramid untuk proses penebusan tiket.