SEPANG - Tujuh pendayung kayak negara mencatat rekod sebagai anak Malaysia pertama yang berjaya berkayak merentasi Sungai Nil sejauh 200 kilometer dari Aswan ke Luxor, Mesir.

Lima pendayung kayak lelaki dan dua wanita dari Majlis Rekreasi Malaysia (MRM) yang mengambil bahagian dalam Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil 2017 itu telah mengharungi cuaca sejuk dan panas yang sangat ekstrem selama lima hari sebelum menamatkan dayungan pada 2.30 petang 15 Nov lepas.

Mereka terdiri daripada Mohd Haniff Muhamad Zain, Shamsudduha Junaidi, Ahmad Iqbal Khairi Ismail, Wan Zulhamli Wan Abdul Rahman dan Izwan Md Sumairi serta Hasnida Hanim Ahmad Kamil dan Rosliza Saad.

Kejayaan menawan sungai terpanjang di dunia itu juga sekali gus menyaksikan nama mereka tercatat di dalam The Malaysia book of Records (MBR) sebagai kumpulan pertama dari Malaysia melakukan ekspedisi kayak di Sungai Nil.

Sijil itu diserahkan oleh wakil MBR kepada jurulatih Muhammad Nur Azrul Che Zabani sejurus pasukan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini sambil disaksikan oleh Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Bercakap kepada pemberita, Akmar Hisham berkata kejayaan itu bakal menjadi titik permulaan kepada rakyat Malaysia yang meminati sukan lasak untuk menerokai aktiviti tersebut di benua Afrika, sekali gus menjulang nama negara di persada dunia selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu rakyat berani mengharungi cabaran.

“Keupayaan mereka amat membanggakan negara dan tentunya menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mencuba pelbagai sukan lasak di benua itu, demi mengharumkan nama sendiri dan juga negara,” katanya.

Ekspedisi Kayak Merentasi Sungai Nil 2017 yang bermula pada 8 Nov lepas merupakan program berbentuk eksplorasi dan nilai budaya di mana tujuh peserta itu perlu melalui pelbagai ujian sebelum terpilih dari kalangan 72 peserta yang mengambil bahagian.

Berkongsi pengalaman sepanjang dayungan itu, Mohd Haniff yang juga ketua kumpulan berkata cabaran utama mereka adalah cuaca sejuk dan panas melampau yang berubah setiap hari sehingga ada di antara mereka menhadapi tekanan dan mengalami masalah kulit.

Beliau berkata mereka mula berdayung seawal 7.30 pagi dengan cuaca di paras 10 darjah celcius dan keadaan itu berubah menjadi terlalu panas dan kering sehingga 34 darjah celcius ketika waktu Zohor sebelum kembali kepada keadaan sejuk melampau selepas waktu Asar.

"Keadaan ini menyebabkan kami perlu cepat menyesuaikan diri kerana cuaca boleh berubah secara mendadak, malah kesejukan air Sungai Nil juga sukar untuk digambarkan berbanding air sungai di Malaysia semasa kami menjalani latihan.

“Namun, berkat kesungguhan dan semangat setiakawan, kami berjaya melunaskan misi demi negara," katanya.

Dalam pada itu, Hasnida Hanim berkata situasi itu tidak melemahkan beliau dan seorang lagi peserta wanita kerana peserta lelaki tidak membiarkan mereka ketinggalan di belakang, sekali gus membantu melancarkan pergerakan masing-masing.

“Selain cuaca sejuk dan panas melampau, kami juga berdepan cabaran kemungkinan terbalik...sepanjang berkayak, kami menemui banyak pusaran air yang menuntut lebih ketelitian dan saling bantu membantu antara rakan sepasukan,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :