SHAH ALAM - Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu setiap kali cuti hujung minggu dan cuti umum.

Beliau berkata, kedudukan kawasan itu sebagai salah satu pusat pelancongan terkemuka di negara menarik hampir 20,000 pelancong dari dalam dan luar negara setiap minggu.

“Disebabkan cuti panjang bermula Sabtu lalu, kadar kemasukan pelancong ke Cameron Highlands meningkat sehingga 50,000 orang dalam masa empat hari lalu. Semua pusat penginapan seperti hotel/rumah sewa penuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai koordinator dan calon Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14),  Sivarraajh telah mencadangkan dan mendapat kelulusan bagi melaksanakan Pelan Mitigasi Kesesakan Lalu Lintas Cameron Highlands.

Beliau berkata, pelan tersebut melibatkan pelaksanaan kajian, penambahbaikan serta pembukaan laluan baharu dan pembinaan kawasan parkir kenderaan bertingkat bernilai hampir RM40 juta secara keseluruhannya, bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands secara strategik.

Namun perubahan kepimpinan dalam PRU lalu yang menyaksikan kekalahan mengejut BN telah merencatkan pelaksanaan usaha tersebut.

“Bagaimanapun, saya telah berbincang bersama kepimpinan di Pahang, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy (Wan Ismail) bagi penubuhan jawatankuasa sementara di bawah Pusat Khidmat Ahli Parlimen Cameron Highlands untuk menilai dan merancang semula inisiatif baharu bagi tujuan mitigasi kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.

“Semua hasil kajian serta cadangan jawatankuasa ini akan dibawa ke perhatian kementerian berkaitan di peringkat kerajaan Pusat dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian mengenai beberapa gambar kesesakan lalu lintas yang teruk di jalan-jalan sekitar pusat peranginan terkemuka, Cameron Highlands tular di media sosial sejak Ahad.

Kesesakan lalu lintas itu dikatakan luar biasa berikutan cuti hujung minggu dan cuti umum sempena ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Awal Muharam.

Difahamkan, ramai mengeluh berikutan hampir semua penginapan hotel termasuk homestay penuh sehingga terpaksa ‘bermalam’ di dalam kereta.

“Keadaan jalan sesak tahap kritikal di Cameron Highlands hari ini! Perjalanan hanya 1km menaiki kereta ambil masa lebih sejam.

“Ada rakan-rakan mengatakan ramai yang tidur di dalam kereta semalam kerana hampir semua hotel dan homestay penuh! Sebak rasa dengan anak-anak kecil dan cuaca sejuk,” demikian menurut status yang tular bersama beberapa gambar, selain menasihati orang ramai supaya merancang percutian dengan bijak.

Maklumat tersebut mencetuskan kekecohan dalam kalangan netizen sehingga ada yang menyifatkan percutian di tanah tinggi itu pada cuti umum sebagai ‘mimpi ngeri’ sehingga serik untuk ke destinsi pelancongan tersebut.

Sementara itu menurut Sivarraajh, Cameron Highlands merupakan pusat pelancongan yang terkemuka di negara ini bagi pelancong dari kumpulan domestik dan antarabangsa.

Tambahnya, sebahagian besar daripada ekonomi Cameron Highlands dijana oleh sektor pelancongan yang bernilai hampir RM260 juta setiap tahun.

“Saya percaya bahawa Cameron Highlands memerlukan satu pelan mitigasi kesesakan lalu lintas yang komprehensif dan efektif dalam jangka panjang.

“Oleh itu, kerjasama semua pihak yang terlibat khususnya rakyat, agensi dan jabatan kerajaan serta kementerian yang berkaitan perlu supaya isu kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands dapat ditangani dengan segera,” katanya.