COX'S BAZAR - BANGLADESH - The Village of Hope diasaskan NGO Malaysia menerusi Tabung SINAR4ROHINGYA di Kem Pelarian Balukhali, kini menjadi tumpuan pelbagai wakil pertubuhan antarabangsa.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) antara yang singgah ke pusat sehenti The Village of Hope bagi mengetahui sistem tandas yang dibina.

Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Ir Jamuliddin Elias berkata, mereka kagum dengan sistem tandas yang direka untuk pelarian di penempatan tersebut.

“Ini kali keempat mereka datang tengok tandas yang kami reka. Tandas ini mempunyai sistem takungan bersilinder yang mana najis tidak akan membuak berbeza dengan kebanyakkan tandas yang direka oleh NGO antarabangsa yang lain.

“Mereka mahu tahu kaedah yang kami gunakan dengan bajet yang sederhana. Tandas merupakan masalah utama di kem ini kerana sebuah tandas digunakan tidak kurang dari 400 pelarian dalam sehari jadi tak hairan jika najis membuak masuk ke parit dan menyebarkan bau busuk,” katanya.

Ir Jamuliddin menerima kunjungan wakil NGO antarabangsa bagi mengetahui kaedah pembinaan tandas.

Menurut bekas jurutera ini, terdapat organisasi antarabangsa membina tandas dengan kaedah yang sama tetapi pembinaan itu menelan kos tinggi berbanding di The Village of Hope.

“Kami sentiasa mencari jalan untuk membina keperluan asas pada kadar minima tetapi dapat dimaksimakan penggunaanya. Pembinaan ini dibuat dengan duit rakyat Malaysia jadi ia perlu digunakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :