KOTA BHARU - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengambil pelbagai langkah bagi membantu para petani, terutama penanam padi, yang biasanya akan mengalami kerugian besar apabila hasil tanaman mereka musnah atau dirosakkan setiap tiba musim tengkujuh.

Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KADA, Nik Roslan Idris berkata, tahun lepas Kada yang mengendalikan 28,072 hektar kawasan tanaman padi melibatkan 8,000 petani di Kelantan merekodkan kerugian sekitar RM11.8 juta akibat banjir.

Beliau berkata sehubungan itu antara langkah yang diambil KADA bagi mengelak kerugian besar tahun ini adalah dengan menjadualkan kerja-kerja penanaman padi yang lebih awal dan menguruskan sistem perparitan yang baik di kawasan penanaman padi.

Katanya, jadual penanaman padi dilaksanakan bagi mengatasi tanaman padi yang hampir dituai hasilnya tenggelam dan rosak akibat banjir musim tengkujuh yang dijangka bermula akhir bulan Oktober dan berlarutan sehingga Mac tahun hadapan.

"Kita buat jadual tanam padi lebih awal kerana kita tidak mahu musim menuai terkena pada musim tengkujuh yang mampu membawa kerugian besar kepada petani," katanya.

Nik Roslan berkata, mengikut jadual itu, petani akan mula menanam padi pada April dan Mei manakala proses penuaian hasil dilakukan pada September atau Oktober.

"Jika terlewat  tanam iaitu pada Jun atau Julai, proses tuaian akan bermula pada November atau Disember iaitu dalam musim monsun Timur Laut, yang akan menyebabkan kebanyakan tanaman padi rosak. Hasil daripada pengenalan jadual baru itu, kini kebanyakan petani sudah boleh menuai hasil dan tanaman mereka terselamat daripada ditengelami banjir," katanya.

“Langkah lain ialah kami pastikan sistem perparitan dalam keadaan baik supaya air yang berlebihan tidak bertakung dalam kawasan sawah sebaliknya terus dialirkan ke sungai,” katanya.

Sementara itu sebuah lagi agensi pertanian, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA) akan memastikan sebuah pintu kawalan air pasang surut dan 46 rumah pam air di bawah selian agensi itu di Pasir Puteh berfungsi dengan baik bagi menghadapi banjir.

IADA mengendalikan kira-kira 6,000 hektar kawasan tanaman padi di Jajahan Pasir Puteh dan Bachok yang melibatkan 1,708 petani, dan bencana banjir tahun lepas mengakibat hasil tanaman itu mengalami kerugian sehingga RM3.6 juta.

Pengarah IADA, Nik Hamadi Nik Abdullah berkata apabila paras air melebihi tahap ketinggian 1.6 meter, pintu kawalan yang terletak di Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh yang merentangi Terusan Semerak, akan berfungsi secara automatik, melepaskan air dari daratan ke Laut Cina Selatan.

“Pintu kawalan itu juga berfungsi menutup air laut daripada memasuki kawasan penempatan penduduk di kawasan berhampiran Terusan Semerak dan kawasan pertanian sekitar,” katanya.

Nik Hamadi berkata 46 rumah pam yang dibina di kawasan berisiko banjir pula akan bertindak mengepam air dari kawasan penempatan penduduk dan sawah ke Sungai Semerak bagi mengurangkan ancaman banjir.

Menurutnya IADA juga bersiap sedia untuk menghadapi  kemungkinan berlaku banjir di Jajahan Bachok dengan memastikan sebuah rumah pam dan 32 pam mudah alih sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Tiga negeri di Pantai Timur dan Johor dijangka akan  mengalami antara empat hingga enam episod  hujan lebat sehingga Mac tahun depan bermula awal November ini berikutan musim Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari dilaporkan berkata keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah yang biasa dinaiki air. - Bernama