PUTRAJAYA - Pemuda Pas menuntut penjelasan lanjut  Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Hanif Omar berhubung pengurangan tanah rizab Melayu.

Ianya susulan fakta yang dikemukakan bekas Ketua Polis Negara itu, bahawa tanah rizab Melayu yang terdapat di seluruh negara hanya tinggal 12 peratus, berbanding 50 peratus sebelum ini.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata berdasarkan maklumat Jawatankuasa Pemandu Urusan Data tanah rizab Melayu Semenanjung Malaysia, sehingga Oktober 2016, terdapat kira-kira 4 juta hektar TRM bersamaan dengan 31.2% daripada keseluruhan keluasan tanah di Semenanjung Malaysia

"Kenyataan Penasihat MPM semalam harus dijelaskan semula atau adakah beliau merujuk kepada data tanah rizab Melayu pada tahun 2005-2009?

Penjelasan ini perlu diberikan untuk mengelak salah faham atau berkemungkinan berlaku kemerosotan mendadak pengurangan tanah rizab Melayu dalam tempoh dua tahun (2016 hingga 2018) yang mungkin disebabkan oleh pembatalan status tanah dan penggunaan yang tidak diganti semula akibat pembangunan khususnya di kawasan bandar,"ujarnya.

Pada masa yang sama Pemuda Pas turut menggesa pihak kerajaan untuk melaksanakan syor-syor yang pernah dikemukakan oleh Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2013.

"Syor-syor tersebut bertujuan untuk melindungi dan meningkatkan nisbah peratusan keluasan tanah rizab Melayu di seluruh negara yang antaranya adalah mengemaskini semula data kawasan TRM, mengambil tindakan segera menggantikan semula pengambilan tanah rizab Melayu dan mengenal pasti kawasan baru yang bersesuaian untuk meningkatkan semula nisbah keluasan tanah rizab Melayu," katanya.

Tambah Muhammad Khalil, pihaknya komited mendokong nisbah tanah rizab Melayu mesti mencapai nisbah 50 peratus sepertimana yang diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu sejak tahun 1957.

[ARTIKEL BERKAITAN: Melayu dulu berani, kini penakut]

Tun Hanif sebelum ini mendedahkan peratusan penyusutan tanah rizab Melayu yang diperoleh hasil siasatan Biro Integriti MPM yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Zaman Khan.

Menurutnya beliau bersama beberapa pemimpin akan berjumpa dengan kerajaan tidak lama lagi dalam usaha membincangkan langkah penyelesaian untuk isu tersebut.