PUTRAJAYA - [KEMASKINI] Yang Amat Arif Tan Sri Zaharah Ibrahim dilantik sebagai Hakim Besar  Malaya berkuat kuasa 11 Julai 2018.

Majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia berlangsung hari ini di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini dihadapan hakim kanam Mahkamah Tinggi, Datuk Su Geok Yiam selaras Perkara 124(3) Perlembangan Persekutuan.

Zaharah, 66, menggantikan jawatan yang dipegang Tan Sri Ahmad Maarop yang kini memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan.

Pelantikan Zaharah menjadikan beliau sebagai wanita kedua  memegang jawatan Hakim Besar Malaya selepas Tan Sri Datuk Siti Norma Yaakob yang berkhidmat bermula tahun 2005 hingga 2007.

Hadir sama menyaksikan majlis angkat sumpah berkenaan ialah Peguam Negara Tommy Thomas; wakil Bar Malaysia, Roger Chan; dan presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop.

Zaharah dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 17 November 1952 dan mendapat pendidikan awal di Sek Keb Bandar Pontian  sebelum meneruskan pengajian di Sek Tun Fatimah Johor Bahru sehingga tamat tingkatan 6 serta menyambung pengajian di Universiti Malaya dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.

Kerjaya beliau dalam bidang perundangan bermula pada 26 April 1977 sebagai Pegawai Undang-undang (Sangkut) sebelum dilantik dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Majistret Melaka Tengah bdan Majistret Litar di Alor Gajah, Jasin, Masjid Tanah dan Merlimau.

Selain itu beliau juga menjawat jawatan Penolong Kanan Penggubal Undang-undang  Parlimen dari 1 Januari 1981 hingga 15 Februari 1992 di Seksyen Bahasa Melayu dan Bahasa Kebangsaan di Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara.

Zaharah kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Harta Intelek di Bahagian Harta Intelek Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  pada 16 Februari 1992 hingga 15 Julai 1992.

Selepas itu, pada 16 Julai 1992 hingga 31 Mac 1994 pula beliau menjadi Timbalan Penggubal Undang-undang Parlimen (ll) dan sebelum dilantik Penasihat Undang-undang Negeri Selangor sehingga 15 Meo 1996.

Sementara itu pada 1 Ogos 1996 beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya dan memulakan perkhidmatan sebagai hakim mahkamah atasan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 14 April 2010 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 16 Februari 2015.