AYER KEROH  - Satu kertas kerja sedang disediakan dalam usaha mewujudkan enakmen tegahan pemberian anugerah yang menyerupai darjah dan pingat rasmi Kerajaan Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, enakmen terbabit antara lain menegaskan bahawa segala darjah dan pingat rasmi dianugerahkan kerajaan negeri kepada seseorang individu tidak boleh diberikan oleh sebarangan institusi adat di negara ini secara sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, ia sekali gus menjaga imej darjah serta pingat rasmi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna kerajaan negeri menolak penganugerahan darjah dan pingat gelaran yang terdapat dalam institusi adat itu sendiri seperti terdapat dalam adat Naning.

“Kita tegaskan, kita tidak menolak institusi-institusi serta badan-badan yang membela serta mempertahankan adat seperti Naning.

“Cuma kita tegah pemberian anugerah yang serupa dengan darjah dan pingat dianugerahkan kerajaan negeri. Umpama darjah bergelar Datuk Seri, Datuk Wira dan Datuk Paduka. Yang ini tak boleh dianugerahkan oleh badan-badan adat tersebut,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak mempunyai halangan untuk membenarkan institusi-institusi adat berkenaan menggunakan gelaran serta penganugerahan yang terdapat dalam institusi adat terbabit.

“Contohnya jika mempunyai gelaran Datuk Paduka Sang Buana Putera Idris Haron, gelaran itu dibenarkan.

“Namun ia dibenarkan dalam kalangan pengamal-pengamal adat mereka dan tidak boleh digunakan di luar dari adat mereka,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Seri Negeri di sini, semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Idris berkata, Kerajaan Melaka akan membuat penstrukturan semula  organisasi dan penyelarasan taraf membabitkan jawatan pengurusan tertinggi di 63 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Beliau berkata, penstrukturan baharu yang masih di peringkat cadangan itu membabitkan semua jawatan dalam GLC yang akan dikontrakkan termasuk pegawai-pegawai kanan.

“Tidak ada jawatan-jawatan tetap bagi pegawai-pegawai kanan dalam agensi dan syarikat yang berkaitan negeri Melaka.

“Jawatan akan dikontrakkan dan akan disambung kontrak berasaskan prestasi dan keupayaan,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA - Pengarah Urusan Oriental Food Industries Holdings Berhad Datuk Son Chen Chuan mendahului 425 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob sempena sambutan ulang tahun Ke-78.
  • ALOR SETAR - Hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan Datuk Aziah Ali mengetuai senarai 68 penerima darjah dan bintang kebesaran negeri bersempena Hari Keputeraan ke-88 Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2015 kepada 109 penerima.
  • GEORGETOWN - Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mendahului senarai 1,275 penerima darjah kebesaran dan pingat kehormatan negeri sempena sambutan ulang tahun ke-77 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Sri Pinang hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.