KUALA LUMPUR - Keluarga Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya, Datuk Richard Morais dan Wong Jing Kui membantah sekerasnya cadangan memansuhkan hukuman mati kepada pembunuh.

Menurut mereka, ia tidak adil kerana keluarga mangsa bunuh terpaksa meneruskan hidup tanpa insan tersayang malah dibelenggu tekanan emosi melampau.

Erni Dekritawati Yuliana Buhari, anak kepada Sosilawati berkata beliau faham kerajaan mungkin memikirkan kemanusiaan namun adakah pembunuh fikirkan perkara sama ketika melakukan jenayah.

“Kes ibu saya makan masa selama lapan tahun, satu masa yang sangat lama untuk jatuhkan hukuman kepada pesalah yang terbabit.

“Mahkamah putuskan hukuman mati kepada mereka dan bila dapat tahu itu keputusannya, saya fikir ini adalah balasan kepada mereka.

“Saya rasa orang lain pun nak perkara sama. Bila jatuh hukuman mati, kami sekeluarga sangat gembira dengan keputusan mahkamah,” katanya dalam sidang media khas, di sini, petang tadi.

Beliau yang juga dikenali sebagai Rita Sosilawati merasakan adalah tidak wajar kerajaan memansuhkan hukuman tersebut.

“Pada masa ibu kami meninggal dunia, kami seperti tiada hala tuju jadi siapa yang kasihankan kepada kami pada waktu itu?

“Dengan hukuman itulah yang menguatkan semangat kami untuk teruskan hidup. Saya mewakili keluarga saya anggap pemansuhan hukuman itu tidak wajar dilakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, adik kepada Kevin Morais, Datuk Richard Morais merasakan jenayah terhadap abangnya merupakan ‘jenayah dahsyat di luar pemikiran manusia’.

“Dia nak pergi kerja kemudian diculik, dibunuh dan mayat disimenkan. Saya seorang sahaja yang tengok mayat dia. Saya fikir ini jenayah yang sangat bahaya.

“Seluruh badan abang saya disimen. Saya tak dapat sentuh badan abang saya sebab penuh batu. Adakah anda mahu lepaskan orang yang buat perkara itu?

“Adakah ini adil? Setiap pagi saya bangun, saya tertekan. Anda kena berada di tempat kami, barulah anda faham bagaimana kami rasa,” katanya.

Sementara itu, kakak kepada Wong Jing Kui, Wong Hie Huong mengakui masih lagi terasa kehilangan adiknya.

Dia juga mahukan kerajaan terus mengekalkan hukuman mati bagi membela nasib keluarga mangsa.