ALOR SETAR – Kerajaan Kedah sedia menyelaras sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan bagi memastikan sekolah tahfiz memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata apa yang dicadangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) adalah baik dan Kedah bersetuju dengan cadangan-cadangan yang disenaraikan pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi  Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz semalam.

“Kita bersetuju apa yang dicadangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan timbalan perdana menteri dan  kita bersama apa juga keputusan yang dibuat di peringkat pusat untuk selaraskan di peringat negeri nanti.

“Insiden yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Kuala Lumpur itu amat menyedihkan malah orang ramai turut menggesa supaya semua sekolah dan maahad tahfiz diberi perhatian sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas program Lawatan Kerja di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Alor Setar, di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi peruntukan RM30 juta kepada semua mahad tahfiz swasta di seluruh negara dilihat tindakan tepat untuk pembangunan infrastruktur institusi itu.

Semalam, Ahmad Zahid berkata, cadangan yang dipersetujui bersama dalam mesyuarat jawatankuasa itu akan dibawa dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam  yang dipengerusikan Najib.

Antara cadangan lain yang disyorkan jawatankuasa berkenaan ialah agar diwujudkan kerangka kriteria kelulusan bagi pembentukan dan pengurusan maahad tahfiz seluruh negara dengan spesifikasi piawaian oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu, pihaknya turut mengesyorkan supaya piawaian minimum yang harus dipatuhi setiap premis maahad tahfiz termasuk rumah anak yatim, sekolah agama, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua serta penubuhan bomba sukarela di premis berkenaan.

Pendaftaran Maahad Tahfiz juga diselaraskan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan supaya tidak timbul soal prasangka pengambilan dan pertindihan kuasa antara kedua-dua pihak.

Pada sidang media sama, Ahmad Bashah berkata, calon bagi PRU14 negeri ini belum dimuktamatkan lagi walaupun ada beberapa nama telah dihantar oleh individu itu sendiri  dan juga Umno bahagian.

“Depa (mereka) hantar dah nama depa kat saya ..yang mana nak jadi calon depa hantar kat saya lah... apa pun PM yang akan menentukan nanti termasuklah jika ada rombakan calon di kawasan-kawasan tertentu,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Tiga keluarga rakyat Malaysia dipindahkan oleh pihak berkuasa tempatan dan dilaporkan selamat susulan kejadian kebakaran hutan di bahagian utara dan selatan California pada Ahad (8 Oktober), menurut Wisma Putra.
  • SEREMBAN - “Tak sempat saya nak buat apa-apa,” mengalir air mata si ibu, Noorazlina Bakry, 36, mengenangkan pemergian anak sulungnya, arwah, Muhammad Fahmi Abdullah, 11, mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
  • KUALA LUMPUR - Pengurusan 23 jenazah mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah disempurnakan dalam masa tiga jam 15 minit dan purata masa untuk menguruskan setiap jenazah hanya mengambil masa lebih kurang lapan minit sahaja.
  • KUALA LUMPUR - Jenazah mangsa korban kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Ujung di sini mula dibawa keluar satu persatu pada 4 petang ini dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.