SHAH ALAM – Atas dasar prihatin dan mahu meringankan beban ditanggung rakyat Palestin di Gaza, Kumpulan Media Karangkraf menyumbangkan RM50,000 ke Tabung Kemanusiaan Gaza Sinar Harian, semalam.

Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Datuk Hussamuddin Yaacub kepada Ketua Pengarah Eksekutif Aman Palestin Malaysia, Awang Suffian Awang Piut di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.

Aman Palestin merupakan rakan pelaksana bagi memastikan bantuan yang diperolehi menerusi tabung ini dapat disalurkan kepada rakyat Palestin.

Selain Aman Palestin, rakan penyalur lain adalah Aqsa Syarif dan Islamic Relief Malaysia (IRM).

Menurut Hussamuddin, penyerahan tersebut diharap akan dapat membantu meringankan beban mangsa kekejaman rejim Zionis Israel.

Beliau berkata, pemilihan tiga NGO ini dibuat kerana mereka mempunyai infrastruktur dan komunikasi yang dapat memudahkan bantuan ini disalurkan segera ke Gaza.

Tabung ini sebelum ini telah dilancarkan September lalu sempena kehadiran tokoh pejuang Palestin, Sheikh Raed Solah melawat dan mengadakan ceramah di Kompleks Karangkraf.

Tabung Kemanusiaan Gaza Sinar Harian ini menyasarkan kutipan RM1 juta dalam masa terdekat bagi membeli ubat-ubatan untuk dihantar ke wilayah Gaza dengan secepat mungkin.

Sejak Rabu lalu, lebih 100 rakyat Palestin kini dianggarkan terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam serangan tentera udara dan laut Zionis Israel.

Dianggarkan kira-kira 75,000 tentera darat Israel bersiap sedia melancarkan pencerobohan darat bagi menghapuskan pergerakan Hamas yang didakwa Zionis Israel sebagai pergerakan pengganas.

Bagi yang ingin turut menderma boleh menyumbang ke akaun Sinar Karangkraf menerusi akaun Maybank 506164-019988 atau hubungi Sekretariat Sinar Harian, Wan Norhasfiza Megat Hussain di talian 03-51013820.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.