HANOI - VIETNAM. Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman digelar 'rock star' oleh salah seorang panelis di Forum Terbuka berjudul 'Asean 4.0 For All'  yang berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional di sini hari ini.

Memetik laporan Astro Awani, Syed Saddiq hanya ketawa apabila ahli panel, Profesor Annie Koh juga Timbalan Presiden Universiti Pentadbiran dan Pembangunan Perniagaan, Singapura sambil berseloroh memanggil Menteri Kabinet Malaysia termuda yang berusia 25 tahun itu dengan panggilan 'rock star'.

Sesi 90-minit itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood.

Topik yang dibincangkan adalah bagaimana Asean mampu bersifat inklusif dalam menyahut cabaran dalam masa depan digital.

Orang muda, menurut Syed Saddiq, sedang merubah dunia dan mereka perlu mendapat pengiktirafan dari Kerajaan untuk memperkasa era digital.

Perubahan drastik telah menolak kekangan usia dalam masyarakat kebanyakan syarikat pemula di Malaysia kebanyakannya diasaskan oleh golongan muda.

"Sudah tiba masanya, kerajaan memberi pengiktirafan dengan bantuan sektor swasta untuk memastikan kita mampu bergerak ke hadapan dalam memastikan mereka bukan sahaja menjadi pemimpin hari esok, namun untuk membentuk masa depan, dari saat ini.

"Remaja di Asean perlu berfikir di luar kotak... cari impian di dalam diri anda, cuba sedaya-upaya dan gunakan cara yang paling tidak konvensional," katanya.

Pengasas VNG Corporation dari Vietnam, Le Hong Minh turut berseloroh apabila beliau bertanya kepada audiens, siapa yang mahu menjadi seperti Syed Saddiq pada usia 25 tahun?

Ramai yang bersetuju dengan mengangkat tangan di Dewan Plenary, di sini, hari ini.

Syed Saddiq adalah salah seorang Menteri Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sentiasa meletakkan lencana nama beliau di mana-mana sahaja.

Apatah lagi, apabila beliau berada di luar negara menjalankan tugas Menteri mewakili Kerajaan dan kelihatan tertera nama beliau 'Syed Saddiq' di bahagian kiri kocek atas jaket biru yang dipakainya, sebelum beliau meninggalkan Pusat Konvensyen di Hanoi untuk pulang ke Malaysia awal petang tadi.