SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ditubuhkan bagi menguruskan pelaksanaan Projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF).

Projek yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada September 2012 memperuntukkan sebanyak 20,000 buah unit rumah dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, pelaksanaan Projek PGBF dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa Pertama sebanyak 8,470 unit dan Fasa Kedua 11,530 unit.

“Bagi Fasa Pertama, Projek PGBF dipecahkan kepada projek perintis di tujuh lokasi dan melibatkan 2,144 unit. Baki sebanyak 6,326 unit di 26 lokasi telah dibahagikan kepada lima pakej.

“Semua projek dalam Fasa Pertama ini dijalankan oleh kontraktor-kontraktor yang dilantik melalui proses tender. Pembiayaan Fasa Pertama adalah dari sumber dalaman Felda dan juga pinjaman,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan tambahan telah juga diperoleh melalui peruntukan sebanyak RM200 juta yang telah diluluskan di bawah Bajet Kerajaan Persekutuan 2017.

Manakala, bagi Fasa Kedua yang melibatkan 11,530 unit, Lembaga Pengarah syarikat PFSB telah memutuskan pembiayaannya adalah melalui inisiatif pendanaan swasta (PFI) dan telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Putra Star Investment Holdings Pte Ltd dan syarikat Terranova Builders Sdn Bhd pada 6 September 2016.

Bagaimanapun, Fasa Kedua Projek PGBF tidak dapat dilaksanakan lagi memandangkan terdapat isu-isu teknikal dan pematuhan kepada perjanjian inisiatif pendanaan swasta tersebut.

“Ketiga-tiga pihak yang terlibat dengan perjanjian tersebut kini di dalam proses perundingan untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul,” katanya yang menafikan kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Memetik laporan sebuah portal tempatan, Rafizi memberitahu beliau percaya permasalahan perumahan Felda adalah antara krisis pertama yang perlu ditangani oleh Tan Sri Shahrir Samad yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan Felda.

Menurutnya, projek perumahan Felda yang dijadikan umpan politik oleh perdana menteri selama ini kepada warga Felda berkemungkinan akan terus bermasalah.

Menurut Rafizi, beliau telah menyemak pelbagai kenyataan dan temu ramah dengan Tan Sri Isa Samad yang dilaporkan secara meluas oleh pihak media yang memberi gambaran betapa tenatnya kedudukan projek perumahan Felda sekarang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pengumuman enam insentif oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam tidak menyelesaikan dua masalah utama dihadapi majoriti peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
  • KUALA NERUS - Sebanyak enam insentif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada peneroka termasuk insentif khas berjumlah RM5,000 bersempena sambutan Hari Peneroka Felda 2017 semalam membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan Felda.