KUALA LUMPUR - Kehadiran Sultan Nazrin Shah pada dialog serantau di Sydney, menyerlahkan usaha Asean yang mengutamakan pendekatan secara damai dan perundingan bagi membina keamanan dan bukan sebaliknya pendekatan bertentangan sebagai tindak balas terhadap konflik di rantau itu.

Ketika bertitah menyampaikan ucapan pada Dialog Asean-Australia 2018 di bandar raya yang menjadi ibu negeri New South Wales, Australia pada Selasa, baginda menarik perhatian bahawa pendekatan kumpulan serantau 10 negara anggota itu mungkin tidak sempurna atau dapat menyelesaikan semua masalah dengan cepat dan kemas.

“Tetapi ia jauh lebih baik daripada memaksa diplomasi dan jalan keluar secara terburu-buru menggunakan tindakan ketenteraan.

"Ini kerana tindakan itu hanya akan membawa kemusnahan dan kesengsaraan secara mendalam yang kesanya amat besar kepada rantau lain di dunia,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, Asean membawa hadiah berharga kepada komuniti Asia Pasifik  yang tidak ada entiti lain yang mampu berbuat demikian.

“Ia menawarkan platform untuk dialog dan perundingan kepada semua negara di rantau ini tanpa mengira ideologi politik serta paksi keselamatan," titah baginda.

Teks ucapan baginda bertajuk 'Asean and Asia Pacific: Peace and Prosperity' dikeluarkan kepada media,  di sini

Sultan Nazrin berangkat menghadiri acara itu atas undangan jawatankuasa pemandu Dialog Asean-Australia, sebahagian daripada jawatankuasa lebih besar yang ditugaskan untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia 2018.

Dalam ucapan itu, baginda menekankan senario yang semakin terbuka untuk perebutan dan persaingan antara China serta banyak kuasa lain, diketuai oleh Amerika Syarikat tidak mungkin mencetuskan perang, kecuali mungkin secara tidak sengaja.

“Tetapi situasi itu sangat tidak sihat bagi keamanan dan kestabilan rantau Asia Pasifik. Apabila kuasa-kuasa berkonfrontasi, kuasa-kuasa lain sedia ada tidak banyak yang dapat dilakukan untuk mengelakkan bencana.

“Prospek mungkin menjadi lebih cerah jika pakatan tentera yang terlibat dalam konflik dapat berubah menjadi peraturan keselamatan yang lebih inklusif dan bekerjasama yang mengikat bersama sekutu dan musuh dalam usaha mewujudkan keamanan bersama,” titah baginda.

Baginda bertitah, struktur kerjasama itu akan lebih sejajar dengan dunia global apabila keselamatan tidak boleh dikompromi, dan bukan berdasarkan kesimpulan sifar.

Mengenai isu keganasan, Sultan Nazrin menarik perhatian bahawa mengaitkan keganasan dengan Islam adalah kesilapan besar.

Baginda bertitah, istilah 'keganasan Islam' tidak wujud, malah ia jauh bertentangan dengan maksud sebenar Islam kerana Islam bermaksud keamanan.

“Kumpulan-kumpulan pengganas mengaitkan diri mereka dengan Islam, hanya kerana mereka mahu mencemarkan ajaran Islam  bagi menghalalkan kekejaman yang mereka lakukan.

"Dalam usaha mengekang keganasan, adalah penting menangani naratif-naratif yang telah dipesongkan oleh pengganas, tetapi ia juga penting untuk menangani puncanya yang mencetuskan keganasan di zon konflik dan perbuatan pengganas yang dilakukan di negara-negara lain,” titah baginda. - Bernama