PETALING JAYA - Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya kesal kerana pihak polis tidak mengambil tindakan ke atas sekumpulan samseng yang mengganggu majlis ceramah Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sehingga kereta pemimpin itu dirosakkan.

 “Samseng berkenaan membaling batu, kayu, botol dan telur busuk ke arah kami dan lebih berani melontarkan mercun bola bagi meleraikan orang ramai yang hadir pada majlis itu.

“Saya kesal kerana lebih 20 polis yang mengawal tidak berbuat apa-apa, apakah jaminan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada program PKR yang mendapat permit pun tidak dijamin keselamatan,” kata Ahli Parlimen Marang ini pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Beliau mendakwa PKR amat yakin sekumpulan remaja lelaki lingkungan 15 hingga 20 tahun berkenaan adalah samseng upahan Umno berdasarkan pengesahan penduduk tempatan yang hadir pada majlis itu.

Pada insiden jam 11.30 malam itu, kereta Anwar dilaporkan kemek  pada bahgian pintu kanan dan cermin pemandu retak  akibat terkenan balingan batu dan ditendang sekumpulan lelaki bermotor semasa ceramahnya.

Anwar mengadakan ceramah di kawasan Parlimen Sembrong, Johor malam tadi. Ahli Parlimennya ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Saifuddin berkata, ceramah Anwar yang dijadualkan itu juga diganggu dengan bunyi motor dan hon kereta sepanjang majlis dijalankan.

“Kenapa polis tidak ambil tindakan? Adakah sebab ini kawasan Menteri Dalam Negeri, jadi PDRM tak mahu bagi kerjasama dengan alasan jaga kepentingan politik.

“Kami sudah buat laporan pada polis selepas kejadian, namun sehingga kini tiada tangkapan yang dibuat,” katanya.

Beliau berkata, PKR mahu wakil Umno Johor tampil beri penjelasan mengenai samseng upahan Umno yang semakin bertindak ganas.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.