KUALA LUMPUR - Pelaksanaan strategi serta tindakan khusus terhadap usaha menangani peningkatan keganasan di negara zon konflik dan bukan konflik adalah antara agenda utama yang dibincangkan pada Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel (CLMM) pada 16 hingga 19 Oktober lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat itu turut mengkaji kepentingan kedaulatan undang-undang kepada pembangunan serta keperluan untuk memperdalam pemahaman mengenai hubungan antara perundangan dalam pelbagai bidang.

“Aspek undang-undang kemanusiaan antarabangsa juga merupakan antara 19 agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat yang dijalankan secara sidang pleno tersebut.

“CLMM 2017 merupakan suatu forum bagi memupuk kerjasama undang-undang dalam kalangan negara-negara anggota Komanwel yang disertai menteri undang-Uudang dan peguam negara dari negara-negara anggota Komanwel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina yang mengetuai delegasi Malaysia ke CLMM 2017 bertempat di Baha Mar Convention, Arts And Entertainment Center, Nassau, Bahamas berkata, mesyuarat yang diadakan setiap tiga tahun sekali itu, pada tahun ini dipengerusikan oleh Senator Carl W. Bethel, QC, Peguam Negara merangkap Menteri Hal Ehwal Undang-Undang Bahamas bertemakan 'memperkukuh undang-undang melalui teknologi'.   

Delegasi Malaysia disertai Datin Paduka Zauyah Be T. Loth Khan (Peguam Negara II), Datuk Almalena Sharmila Datuk Dr Johan (Penasihat Undang-undang Jabatan Perdana Menteri) dan V. Danesh Chandran Danesh (Timbalan Ketua Pengarah Khas Bahagian Hal Ehwal Undang-undang).

Antara kertas kerja yang dibentangkan oleh delegasi Malaysia adalah Antikeganasan: Langkah-langkah Terhadap Fenomena Pengganas Warga Asing (FTF) dan Penggunaan ICT Untuk Merekrut Pengganas, Menentang Keganasan Ekstremisme dan Mencegah Radikalisasi, Promosi dan Pelaksanaan Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa:Perspektif Negara Komanwel. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.