GEORGETOWN - Kementerian Pendidikan menjalankan pelbagai usaha untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa dan pelajar bahawa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah penting untuk mempersiapkan pelajar menjadi pekerja berkemahiran tinggi sebagaimana yang diperlukan industri.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P.Kamalanathan berkata pihaknya percaya usaha itu juga akan membantu meningkatkan jumlah pelajar sekolah menggemari sains sekali gus mencapai sasaran 60 peratus pelajar aliran itu.

"Sebenarnya usaha itu juga adalah antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan minat pelajar untuk menyertai aliran berkaitan STEM di sekolah bagi membolehkan sasaran dasar 60:40 dapat direalisasikan dan seterusnya memastikan peningkatan enrolmen murid bidang itu.

"Walaupun kami lihat peningkatan pendidikan STEM itu semakin baik tetapi jumlah pelajar yang menyertai aliran berkenaan khususnya di sekolah menengah masih rendah dan sebagai contoh setiap tahun kira-kira 400,000 pelajar mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun hanya 150,000 hingga 160,000 orang sahaja mengambil aliran itu.

"Sasaran Kementerian Pendidikan pada 2020 nanti ialah sekurang-kurangnya 50 peratus pelajar menyertai aliran STEM dan jumlah itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa kerana peluang pekerjaan dalam bidang itu adalah lebih 70 peratus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium STEM 2017 Zon Utara di sini hari ini.

Kolokium sehari di Universiti Sains Malaysia (USM) bersama guru, ibu bapa, ahli akademik dan wakil industri itu akan memberi pendedahan secara teori serta pratikal termasuk pameran produk oleh pihak industri berhubung pendidikan STEM.

Sementara itu, Kamalanathan berkata Kementerian Pendidikan ketika ini berada di landasan yang betul dalam melaksanakan inisiatif pendidikan STEM gelombang 2 iaitu mewujudkan kerjasama pelbagai pihak terutama dengan industri atau ringkasnya melaksanakan program strategi lautan biru kebangsaan (NBOS) dalam memperkukuhkan pendidikan STEM.

Beliau berkata sebanyak 60 pihak industri ketika ini bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah berhubung peluang pekerjaan dalam bidang STEM terutama lima hingga 15 tahun akan datang.

"Kerajaan memang memberi perhatian serius terhadap pendidikan STEM, bukan sahaja kerana ia menjadi tumpuan negara dan antarabangsa tetapi kerana kami menyedari perkaitan antara pendidikan STEM dengan kemampuan negara membekalkan tenaga kerja dalam bidang itu yang mencukupi bagi memacu ekonomi negara," katanya. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan akan menunggu laporan terperinci berhubung insiden seorang ustazah dikatakan menampar seorang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Gajah, Kelantan, Selasa lepas.
  • GEORGETOWN - Kementerian Pendidikan akan membantu mana-mana pelabur atau penyedia perkhidmatan pendidikan yang ingin membuka sekolah antarabangsa di negara ini, kata timbalan menterinya Datuk P.Kamalanathan.
  • JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan akan menyiasat sebuah video klip menunjukkan seorang pelajar perempuan memeluk seorang pelajar lelaki dipercayai kekasihnya dalam pakaian sekolah, yang tersebar luas di laman sosial sejak semalam.
  • KUALA LUMPUR - Tidak ada laporan atau kes penyebaran fahaman Syiah oleh penuntut asing yang dikesan di institusi pengajian tinggi di negara ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.