SHAH ALAM - Pengumuman cadangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam menerima pelbagai reaksi rakyat.

Rata-rata netizen dengan sinisnya menempelak cadangan itu dan menganggap kadar tersebut terlampau tinggi.

Malah, ia melebihi GST enam peratus yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, empat tahun lalu.

Selain itu, rakyat juga kelihatan tidak memahami kadar itu dengan menganggap SST pada kadar 16 peratus.

Salah seorang pelayar Facebook Sinar Harian, Fauzi Ismail berpendapat, pada kadar itu, rakyat terpaksa membayar cukai dua kali ganda daripada cukai yang dikenakan oleh Jepun terhadap rakyatnya.

Sementara itu, Lye May Chan mencadangkan agar Guan Eng mendengar pandangan rakyat sebelum membuat keputusan.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng cadang cukai jualan 10 peratus ]

Menurutnya, kadar 10 peratus itu adalah tidak munasabah untuk golongan pertengahan dan rendah.

“Mereka tidak mampu untuk membayar cukai apatah lagi dengan pendapatan yang rendah. Jadi tolong fikirkan semula. Ia sepatutnya rendah daripada GST,” katanya.

Mohd Nazmi pula berkata, sewaktu zaman GST, sekolah tahfiz diberi peruntukan, Jakim diperkasakan dan nelayan diberi bantuan sara hidup oleh kerajaan terdahulu.

“Sekarang GST 0, sekolah tahfiz hendak ditutup, Jakim dikaji semula dan minyak tidak turun,” katanya.

Fitri Othman pula berpendapat dirinya perlu belajar asas percukaian yang membezakan SST dan GST, spektrum percukaian, perbandingan hasil pendapatan kerajaan dan kesan terhadap harga barangan.

“Takut bising berbunyi ibarat tin kosong,” katanya.

Solo Rider pula berpendapat kebanyakan peniaga tidak jujur dalam perniagaan mereka.

“Kat Malaysia ini, apabila SST hendak dilaksanakan, harga barangan naik sebab SST tambah GST. Apabila GST dihapuskan harga barang tidak turun. Lepas ini bertambah lagi,” katanya.