SHAH ALAM - Sekiranya kerajaan menarik balik pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan, pemaju perumahan tidak menolak harga rumah akan melonjak naik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSN Group of Companies (MSN), Masnawi Ariffin berkata, baik dari segi cukai barangan dan perkhidmatan (GST), mahupun pengenaan SST, ia bukanlah merupakan satu-satunya faktor tunggal bagi penentuan harga sebuah rumah.

Menurutnya, faktor lain membabitkan penjualan sesebuah rumah ialah harga atau kos tanah terutamanya di kawasan atau lokasi yang mempunyai nilai tinggi.

“Isu harga rumah ini subjektif.  Sebenarnya yang tidak dikenakan SST ialah barangan asas antaranya pasir, batu, dan simen.  Bagaimanapun, bagi kelengkapan serta kekemasan bilik air dan sebagainya, barangan ini dikenakan SST dan meningkatkan kos.

“Bagi kita sebagai pemaju, pengecualian SST ini hanya mampu untuk mengekalkan harga rumah buat masa ini.  Sekiranya kerajaan menarik balik pengecualian SST, harga rumah akan naik,” katanya kepada Sinar Harian.

Masnawi berkata, sebaik kerajaan mengumumkan pengecualian SST berkenaan, rakyat beranggapan seolah-olah semua barang untuk sebuah projek perumahan tidak dikenakan cukai.

“Walhal ia hanya membabitkan bahan asas sahaja dan aspek lain seperti tanah, kekemasan rumah dan lain-lain lagi masih lagi menelan kos yang tinggi,” katanya.

“Bahkan, bolehkah kerajaan memberi jaminan tidak berlaku kenaikan harga barang binaan dalam tempoh masa sekurang-kurangnya dua tahun pemaju perumahan memohon kelulusan bagi projek perumahan.

Bagi Pengarah Jualan Bandacaya Group, Raja Umar Raja Ali, dia menyatakan GST mahupun SST hanya memainkan peratusan kecil dalam penentuan harga jualan sesebuah rumah.

Menurutnya, bagi isu harga rumah ini, hanya Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang boleh memainkan peranan dalam mengawal harga rumah.

“Jabatan ini sudah tahu harga lokasi tanah dan binaan (bagi sesebuah projek pembinaan). Jabatan mesti bertegas.  GST dan SST ini hanya memainkan peranan kecil sahaja dalam penentuan harga rumah,” katanya.

Kelmarin, Guan Eng berkata kerajaan akan menarik balik langkah pengecualian SST sebanyak enam peratus yang dikenakan terhadap perkhidmatan dan bahan binaan jika semua pemaju perumahan tidak menurunkan harga rumah.

Menurutnya, setiap pemaju perumahan perlu berbuat demikian memandangkan langkah pengecualian SST berkenaan adalah lebih baik berbanding pelaksanaan GST sebelum ini.