GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan mahu melihat lebih banyak respon positif daripada penggiat industri perumahan susulan pengumuman bahawa perkhidmatan pembinaan dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berharap dapat melihat sekurang-kurangnya beberapa perubahan harga rumah pada masa depan memandangkan kerajaan tidak mengutip cukai ke atas perkhidmatan pembinaan.

Beliau menjelaskan bahawa harga kereta turun sejak pelaksanaan SST, dan harus ada respons positif daripada sektor perumahan.

"Kami harap terdapat sekurang-kurangnya beberapa perubahan pada harga rumah, dan menjangkakan dapat melihat sambutan positif pada masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan di portal berita dalam talian yang memetik bekas pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) Pulau Pinang Datuk Jerry Chan bahawa harga rumah tidak mungkin turun walaupun selepas pengumuman kerajaan mengenai pengecualian SST ke atas bahan binaan tertentu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata kerajaan akan mengkaji kadar cukai korporat semasa agar negara dapat mengekalkan daya saingnya di rantau ini.

Dalam pandangan peribadinya, Guan Eng berkata beliau tidak berniat untuk menaikkan kadar cukai korporat, namun situasi kewangan semasa negara menjadikannya sukar bagi kerajaan untuk membuat keputusan.

"Kami mengambil maklum bahawa negara jiran kita telah mengurangkan cukai korporat, malah Amerika Syarikat telah mengurangkannya dari 35 peratus kepada 21 peratus.

"Berdasarkan kedudukan kewangan semasa negara, jika kita mampu mengurangkannya, kita akan mengurangkan kadar korporat, tetapi jika tidak kita akan menimbangkan pilihan lain," katanya.

Beliau berkata, pengumuman kadar baharu cukai korporat akan dibuat semasa pembentangan Belanjawan 2019 oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad pada 2 November di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Guan Eng bersama Ketua Pengarah Jabatan Kastam Datuk Seri T Subromaniam menghadiri taklimat SST dengan pemain industri di sini.  – Bernama