KUALA LUMPUR – Elemen percukaian seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bukanlah satu-satunya penyebab kenaikan kos harga barangan, sebaliknya turut dipengaruhi faktor termasuk pergerakan harga produk terbabit.            

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata faktor itu termasuk barang yang diimport, penyusutan nilai ringgit, musim perayaan, kegiatan penyeludupan, kemarau di negara pengeluar selain sikap peniaga yang mahu mengaut keuntungan berlebihan.

“Kenaikan harga juga lazimnya disebabkan oleh permintaan dan penawaran sesuatu barang serta perkhidmatan dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel  (BNC) di sini, malam ini.

Sehubungan itu, Guan Eng menasihati rakyat untuk menjadi pengguna bijak dengan mengambil tindakan seperti membuat laporan kepada Kemententerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, memboikot barangan tersebut dan menularkan sebarang salah laku berkenaan.

Mereka juga harus membeli barangan atau perkhidmatan yang benar-benar diperlukan selain mengambil inisiatif membandingkan harga serta membuat kajian pasaran terlebih dahulu. 

Menurutnya, kerajaan juga amat komited untuk mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya golongan B40 (golongan 40 peratus pendapatan rendah negara).

Malah, menerusi pelaksanakan SST yang telah ditambahbaik, kerajaan telah ‘mengembalikan’ semula jumlah kutipan cukai dianggarkan kira-kira RM23 billion kepada rakyat.

“Adalah diharapkan dengan pemulangan kutipan cukai ini dapat merangsang permintaan pengguna, meningkatkan keyakinan pelabur dan seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, SST juga hanya merangkumi 38 peratus daripada kumpulan barangan Indeks Harga Pengguna (IHP) berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang meliputi 60 peratus daripada kumpulan barangan dan perkhidmatan indeks berkenaan.

Jelas Guan Eng , bebanan bagi golongan B40 juga lebih rendah berikutan tiada lagi cukai terhadap produk termasuk sardin, susu, teh, sos cili, sos tomato, bijirin, marjerin, kaya serta motosikal di bawah 250cc dan basikal.

Selain itu, golongan nelayan tidak lagi tertakluk kepada cukai untuk pembelian bot manakala bagi petani, traktor dan baja tidak lagi dikenakan cukai yang sebelum ini menyebabkan petani tidak berdaftar dibebani GST bagi pembelian baja, katanya.

Bagi sektor perumahan, bahan binaan yang tidak dikenakan cukai adalah pasir, bata dan simen manakala perkhidmatan kesihatan dan hospital yang tidak dikenakan SST adalah khidmat perundingan penjagaan kesihatan, pentadbiran, perubatan dan perkhidmatan ambulatori. - Bernama