BATU PAHAT - Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang gagal mendaftar di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sehingga ini, terdapat 100,000 senarai syarikat telah dikenal pasti akan mendaftar di bawah cukai berkenaan.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, tempoh masa masih diberikan kepada pengusaha syarikat terbabit yang masih belum mendaftar sebelum ia dikuatkuasakan secara serius bermula tahun hadapan.

“Untuk tempoh tahun ini, kita mengambil pendekatan ‘berlembut’ termasuk memberi peluang peniaga memahami sistem percukaian SST ini.

“Melalui data pendaftaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebelum ini, sebanyak 472,000 syarikat telah berdaftar, namun menerusi SST, ia hanya membabitkan 100,000 syarikat yang layak dikenakan SST,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Taklimat SST Bersama Menteri Kewangan di Katerina Hotel di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abd Halim.