SHAH ALAM - Ahli-ahli Umno perlu berusaha bagi memastikan pemimpin parti itu terhindar daripada amalan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya tidak perlu membuat pantauan dalam proses pemilihan Umno seperti mana yang di syorkan oleh beberapa pihak.

“Tak perlu SPRM pantau, biar ahli parti Umno pantau sendiri.

“Kalau orang-orang Umno sayang pada parti mereka, tolak pemimpin-pemimpin yang korup,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: KJ cadang SPRM pantau pemilihan Umno]

Katanya lagi, sukar untuk Umno menerima sokongan rakyat sekiranya ahli-ahli parti itu gagal memastikan pemimpin-pemimpin dalam parti itu bebas daripada amalan rasuah.

“Mana-mana pemimpin yang mengamalkan rasuah ketika pemilihan, jangan pilih mereka.

“Orang-orang Umno kena berusaha sendiri untuk pastikan rasuah dibuang jauh daripada parti mereka. Kalau rasuah masih berleluasa dalam parti, macam mana nak harap sokongan rakyat,” tegasnya.

Sebelum itu, calon Presiden Umno, Khairy Jamaluddin mencadangkan agar pemilihan Umno dipantau oleh SPRM.