PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan antara pihak bertanggungjawab untuk menjelaskan sebab tiada tindakan diambil terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman pada 2012.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penjelasan daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan membantu, kerana beliau percaya sudah tentu ada sebab-sebab tertentu di sebaliknya.

“Ada alasan di sebaliknya, yang tidak sepenuhnya difahami. Kita akan dapatkan penjelasan, bukan dari Gani tetapi apakah situasi sebenar pada masa ia berlaku ketika itu.

“Walaupun Gani beri penjelasan, ia tidak akan membantu tetapi pihak lain yang harus jelaskan, kenapa pada masa itu tidak ada pendakwaan dilakukan oleh SPRM,”katanya ketika ditemui media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dalam satu kenyataan mendesak Gani menjelaskan mengapakah beliau tidak lakukan sebarang pendakwaan terhadap Musa sewaktu menjawat jawatan Peguam Negara.

Malah Lip Eng turut menyatakan adalah menjadi tanggungjawab untuk Gani menjelaskan tindakannya itu kepada masyarakat memandangkan isu rasuah membabitkan bekas ketua menteri Sabah itu sudah dibangkitkan sejak 2012.

Musa sebelum ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 35 tuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta (RM263.46 juta).

Selain itu, Dr Mahathir turut mengulas mengenai kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin bahawa kerajaan tidak perlu lagi menyalahkan pentadbiran terdahulu, sebaliknya fokus untuk menunaikan janji dalam manifesto.

Beliau menyatakan bukan menjadi tugas kerajaan mencari kesalahan.

“Kita hendak tentukan segala masalah untuk pulihkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati di dunia, itulah matlamat kita.

"Soal menyalahkan orang itu soal undang-undang, bukan soal kita,” jelasnya.