KUALA LUMPUR - Benarlah kata orang, kasihnya ibu membawa ke syurga.

Meskipun sudah lapan tahun berlalu, kerinduan Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 33, atau lebih dikenali sebagai Rita kepada ibunya, Datuk Sosilawati Lawiya tidak pernah padam.

Kehilangan insan tersayang dengan mengejut, perlu menyambung legasi perniagaan ditinggalkan arwah ibunya, ia bukanlah sesuatu yang mudah buat Rita.

Malah, beliau mengakui masih merindui dan memerlukan ibunya sekarang.

“Lapan tahun masih lagi terasa, tak pernah lupa walau sehari. Lapan tahun kalau ikutkan memang satu masa yang lama.

“Anak saya dari kecil, sekarang dah besar pun. Mahu atau tidak, saya perlu teruskan hidup sebab orang tidak akan simpati kepada kita sampai bila-bila,” katanya.

Masihkah anda ingat kisah pembunuhan Sosilawati? Kesnya berlaku pada 2010 namun sehingga kini rakyat tidak boleh melupakan tragedi pembunuhan kejam itu.

Sosilawati dan tiga pembantunya dilaporkan hilang selepas mereka dikatakan pergi ke Banting berhubung urus niaga jualan tanah.

Mereka kemudiannya ditemukan mati dan selepas siasatan, empat lelaki didakwa atas pertuduhan membunuh ahli perniagaan itu dan tiga lagi pembantunya.

Keempat-empat lelaki itu ialah bekas peguam, N Pathmanabhan, 45, dan pembantu ladang T Thilaiyalagan, 23, R Matan, 24, serta R Kathavarayan, 35.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Kes pembunuhan itu menggemparkan seantero Malaysia sementelah Sosilawati merupakan ahli perniagaan berpengaruh pada waktu itu.

Tahun lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap bekas peguam dan dua pembantunya kerana membunuh jutawan kosmetik, Sosilawati dan tiga pembantunya.

Ia sekali gus merungkaikan kesudahan kes jenayah paling kejam yang berlaku di Malaysia, mungkin tak pernah tercapai akal rakyat negara ini melihatkan kejadian seumpama itu berlaku.

Bagi Rita, cadangan memansuhkan hukuman mati sangat tidak wajar apatah lagi beliau merupakan anak kepada mangsa bunuh yang kesnya pernah menggemparkan negara.

“Apa perasaan bila ibu bapa anda dibunuh tapi tiada keadilan? Ini tak adil untuk kami. Kalau katakan satu hari nanti keluarga anda kena bunuh, apa anda rasa?

“Saya lawan untuk orang lain juga sebab saya pernah alami perkara ini, saya faham perasaan itu,” katanya.