SHAH ALAM - Sekretariat SINAR4ROHINGYA bersetuju mengadakan Himpunan Semangat Sejuta Umat, yang dijangka berlangsung pada 28 Oktober atau 4 November ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perhimpunan itu bertujuan mendesak Kerajaan Myanmar pimpinan Htin Kyaw supaya menghentikan serta-merta pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

“Kami sangat kecewa dengan badan-badan dunia yang dilihat berkompromi dengan pembunuhan ini, malah statistik tidak rasmi yang kami peroleh menyatakan puluhan ribu etnik Rohingya yang telah dibunuh tentera Myanmar sehingga hari ini.

“Justeru, tujuan himpunan ini adalah untuk menunjukkan mesej tegas daripada warga dunia, terutama rakyat Malaysia yang tidak boleh menunggu cara badan dunia ini bertindak,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat himpunan berkenaan di Kumpulan Media Karangkraf, di sini.

Himpunan itu mensasarkan sejuta individu yang akan hadir tanpa mengira bangsa dan agama dari 50 bandar raya di seluruh dunia, pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Mohd Azmi berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih mana-mana tarikh yang dicadangkan dan selepas itu  pengumuman mengenai hari Himpunan Semangat Sejuta Umat akan dibuat.

“Kami turut menjemput semua ahli politik, tidak kira daripada mana-mana parti politik pun, untuk turut serta dalam himpunan ini bagi menzahirkan sokongan mereka kepada hak hidup etnik Rohingya.

“Kami berharap perdana menteri dapat hadir pada hari bersejarah itu. Kami turut sasarkan 100 NGO tanpa mengira latar belakang untuk bersama turun padang mengutuk tindakan Kerajaan Myanmar,” tegasnya.

Ditanya mengenai lokasi perhimpunan, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa lokasi.

"Kami akan adakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan nasihat lokasi sesuai.

“Kami juga sedang merancang tema, warna pakaian dan logo sesuai untuk dijadikan sebagai simbol rasmi himpunan ini. Kami akan bermesyuarat sekali lagi bagi membincangkan gerak kerja," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.