TANJUNG MALIM - Seramai 138,000 graduan di negara ini mendapat pekerjaan menerusi Skim Latihan 1Malaysia sejak ia dilancarkan pada Jun 2011, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, SL1M dilaksanakan sebagai satu daripada langkah intervensi kerajaan bagi memastikan lebih ramai graduan menganggur mendapat pekerjaan dengan menjalani latihan pekerjaan merangkumi aspek komunikasi, kemahiran berfikir, mempunyai sifat profesional, penyesuaian dalam organisasi serta berketrampilan.

Katanya individu yang menjalani latihan dalam tempoh setahun yang disediakan oleh SL1M telah terbukti memberi impak positif serta memastikan mereka mempunyai persekitaran bekerja yang kondusif.

"Melalui SL1M syarikat yang menyertai program-program ini mendapati pencari kerja mempunyai prestasi dan kemahiran yang baik yang mana mereka akan diserap terus ke dalam syarikat berkenaan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Temuduga Terbuka SL1M Peringkat Zon Barat dan Festival Keusahawanan Industri Asas Tani 2017 yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata Sabah merupakan lokasi seterusnya program temuduga terbuka SL1M yang dijadualkan diadakan bulan depan.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahman berkata walaupun kadar pengangguran yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal iaitu 3.5 peratus daripada 15 juta tenaga buruh di negara ini, namun isu pengangguran masih meresahkan rakyat terutama golongan graduan.

"Oleh itu, kerajaan sentiasa melihat perkara ini sebagai isu utama yang perlu tindakan sewajarnya dan pelbagai langkah pelaksanaan dilakukan seperti Program Skim Kemahiran dan Kerjaya 1Malaysia serta Skim Pengurusan Kebolehpasaran Graduan.

"Kerajaan juga telah memperkasakan Latihan Teknikal dan Vokasional secara menyeluruh dan mempertingkatkan lagi penggunaan Tabun Pembangunan Sumber Manusia untuk pelbagai program latihan serta peningkatan kemahiran," katanya.

Sebanyak 60 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta mengambil bahagian sepanjang dua hari program dengan menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan dan latihan tanpa mengira latar belakang dan peringkat kelulusan.

Program itu turut menampilkan beberapa selebriti terkenal tanah air  berkongsi kisah kejayaan sekali gus untuk menjadi inspirasi kepada graduan dan pencari kerja dan program itu dijangka dihadiri kira-kira 15,000 pengunjung. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TUARAN - Lebih 97,000 graduan menerima manfaat dan mendapat pekerjaan semenjak program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dilancarkan pada 2011 sehingga September lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.