SHAH ALAM – Pelaksanaan tambah nilai minimum RM30 Touch ‘n Go di lorong tambah nilai tol Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) yang sepatutnya bermula semalam, ditarik semula dan tidak akan dilaksanakan selepas ini.

Perkembangan itu disahkan Pengurus Besar Operasi dan Penyelenggaraan SKVE, Zainal Alam Kamaruzzaman ketika dihubungi Sinar Harian.

“Tidak...kita tarik semula dan ia tak akan dilaksanakan,” jawabnya ringkas.

Sebelum ini, pengurusan SKVE memaklumkan lebuh raya berkenaan akan melaksanakan tambah nilai minimum RM30 untuk Touch ‘n Go mulai 1 Mac.

Namun begitu, langkah pelaksanaan mula tular di laman sosial dilihat mendapat bantahan orang ramai berikutan tidak bersetuju dengan tindakan itu.

Zainal sebelum ini memaklumkan, langkah itu diambil bagi mengelak kesesakan lalu lintas di lorong tambah nilai. Disamping itu, ia bagi mendidik orang ramai menyediakan wang secukupnya.

KRONOLOGI:
 
15 Oktober 2015 - Kenaikan 10 sen dan RM3 di Lebuhraya Silk, Lebuhraya Smart, Lebuhraya Mex, Lebuhraya Duke, Lebuhraya Latar, Lebuhraya NPE, Lebuhraya Besraya, Lebuhraya Akleh, Lebuhraya GCE, Lebuhraya LKSA, Lebuhraya KLK, Lebuhraya LDP, Lebuhraya Sprint, Lebuhraya SDE, Lebuhraya Lekas, Lebuhraya CKE/Grand Saga, Lebuhraya SKVE dan Lebuhraya LLB.

1 Jun 2016 - Tol elektronik (ETC) penuh di 18 plaza tol di enam lebuh raya iaitu Plaza Tol Mines dan Plaza Tol Loke Yew, Plaza Tol Bagan Ajam, Plaza Tol Perai dan Plaza Tol Sg Nyior serta Plaza Tol Sungai Ramal, Plaza Tol Bukit Kajang, Plaza Tol Sungai Long, dan Plaza Tol Sungai Balak.

Plaza Tol Ayer Hitam, Plaza Tol SKVE Saujana Putra, Plaza Tol Teluk Panglima Garang dan Plaza Tol Pulau Indah SKVE, Plaza Tol JSAHMS serta Plaza Tol Bukit Raja, Plaza
Tol Kapar, Plaza Tol Kapar Moc A dan Plaza Tol Kapar Moc B.

9 November 2016 - Kutipan tol ETC di Lebuhraya LDP dan Lebuhraya SDE.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.