KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meningkatkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) kepada RM360 bagi setiap tan metrik pengeluaran padi mulai tahun depan  bagi membantu golongan pesawah.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ia adalah peningkatan sebanyak RM60 daripada SSHP pada 2016 yang berjumlah RM300 bagi setiap tan metrik.

Selain itu, kerajaan juga akan meningkatkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak 30 sen sekilogram kepada RM2.50, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beberapa ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) ketika membahaskan Belanjawan 2019 sebelum ini menyarankan Lim supaya memberi perhatian kepada nasib golongan nelayan, petani, peladang dan pekebun kecil pada Belanjawan 2019.

Belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan itu diluluskan Dewan Rakyat di peringkat dasar, hari ini. - Bernama