KUALA LUMPUR - Keadaan trafik di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) bagi arah selatan bergerak lancar manakala di bahagian utara dilaporkan bergerak perlahan.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd berkata di arah utara, trafik bergerak perlahan dari Terowong Menora menuju ke Kuala Kangsar, Kuala
Kangsar ke Changkat Jering dan dari Bukit Tambun menuju ke Juru.
Kemalangan turut berlaku di Km 187.7 dari Bukit Merah ke Bandar Baru pada 9.11 malam, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sementara itu, Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan pada pukul 8.36 malam, trafik terkawal dari Plaza Tol Gombak ke arah Bentong.
Trafik di lebuh raya lain iaitu di Lembah Klang dilaporkan masih bergerak lancar.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya Plus menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di
www.twitter.com/plustrafik. - Bernama




