MELAKA - Sistem pendidikan khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknikal di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diiktiraf dunia, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
Beliau berkata ia hasil kejayaan kerajaan dalam membangunkan infrastruktur dan membekalkan tenaga pengajar bermutu sejak mencapai kemerdekaan 55 tahun lepas.
"Kalau orang kata mutu pendidikan kita tidak bagus, kita boleh nafikan malah ramai pelajar asing mahu belajar di Malaysia kerana yakin dengan kualiti pengajaran dan pembelajarannya," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan.
Hampir 10,000 pelajar UTeM akan menerima manfaat daripada pemberian KDS1M yang membolehkan mereka membeli barangan dan perkhidmatan terpilih pada harga diskaun sehingga 60 peratus.
Shaziman yang juga Menteri Mentor UTeM berkata sebagai contoh Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) telah mendapat status penandatangan penuh Washington Accord bagi sistem pendidikan kejuruteraan di Malaysia pada dua tahun lepas.
Washington Accord adalah satu perjanjian eksklusif antara badan pengiktiraf pendidikan peringkat antarabangsa dan ia mengesahkan bahawa proses akreditasi dan piawaian pendidikan kejuruteraan kesemua negara penandatangan adalah setaraf.
Beliau berkata melalui status berkenaan, pelajar jurusan kejuruteraan di negara ini boleh diterima bekerja di negara-negara maju seperti Amerika, Britain dan Jepun.
Pada masa yang sama beliau menyeru mahasiswa agar menumpukan perhatian kepada cita-cita dan mengelak daripada terlibat dengan mereka yang berjuang untuk kepentingan diri.- Bernama




