PUTRAJAYA - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan mengadakan siri jelajah di seluruh negara untuk menerangkan mengenai Akta Rukun Tetangga 2012 yang diluluskan pada 22 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata siri jelajah yang akan bermula bulan depan itu akan memberi tumpuan di kawasan yang mempunyai kadar jenayah tinggi.

"Siri jelajah tersebut akan mengambil masa sekurangnya dua bulan dan menerusi usaha itu diharapkan peranan dan pembabitan orang ramai dalam rukun tetangga dapat membantu kerajaan serta pihak berkuasa dalam meningkatkan faktor kesalamatan.

"Paling penting kita mahu semangat kejiranan dapat disemarakkan bagi memupuk keharmonian dan perpaduan di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Akta Rukun Tetangga 2012, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Koh turut menyampaikan watikah pelantikan perwakilan kuasa dan sijil penghargaan kepada jawatankuasa penggubalan Akta Rukun Tetangga
2012.

Akta Rukun Tetangga 2012 digubal bagi memperluaskan fungsi dan skop sistem Rukun Tetangga (RT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Koh berkata kecenderungan sesuatu tempat mempunyai kadar jenayah lebih tinggi adalah disebabkan beberapa faktor seperti kepadatan penduduk, tekanan sosial serta kawasan tumpuan orang ramai.

"Justeru, saya berharap siri jelajah tersebut dapat menjana persefahaman di kalangan komuniti, sekali gus membolehkan pelbagai pelaksanaan dilakukan dengan berkesan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.