KUALA LUMPUR - Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini, tidak akan membebankan golongan majikan dari segi kos, malah akan memacu Malaysia ke fasa pembangunan seterusnya jika ia dilaksanakan tahun depan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Norma Mansor berkata, berdasarkan sistem baharu itu, sumbangan kepada dana ​​​​​​​tersebut akan dilakukan oleh majikan dan pekerja.

Beliau berkata, skim insurans itu lebih murah bagi majikan yang berhasrat mengurangkan tenaga kerja dalam usaha mempertingkatkan teknologi dan mengoperasikan perniagaan secara automatik, berbanding skim perlindungan pekerja sedia ada.

“Apabila kita bercakap soal faedah pemberhentian dan penamatan, (ketika ini) tanggungjawab itu hanya terletak kepada majikan sahaja dan mereka perlu membayar gaji bersamaan 4.5 bulan kepada pekerja yang diberhentikan, dan ia hanya melindungi pekerja berpendapatan RM2,000 dan ke bawah.

“SIP adalah bercaruman, setiap pekerja juga akan mencarum kepada dana itu. Caruman​​​​​​​ tersebut akan disalurkan kepada dana terkumpul, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang mana ia akan dilaburkan,” katanya kepada Bernama.

Pada peringkat awal, Norma berkata, skim insurans itu mungkin akan menggunakan hanya wang dana yang disuntik oleh kerajaan dengan jumlah keseluruhan RM122 juta dalam dua fasa untuk bayaran manfaat kepada mana-mana pekerja yang diberhentikan.

Beliau berkata, SIP, yang akan diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso), akan mempunyai jumlah dana yang semakin besar dan boleh memberi manfaat kepada banyak aspek lain dalam pasaran tenaga kerja susulan aktiviti pelaburannya.

Beliau menjangkakan dalam tempoh lima tahun akan datang, bayaran manfaat kepada pekerja yang diberhentikan mungkin hanya menggunakan keuntungan daripada pelaburan, seperti langkah KWSP​​​​​​​membayar dividen kepada anggotanya.

“Kita telah belajar daripada krisis 1997 bahawa ekonomi kita tidak kembali ke paras sebelum krisis​​​​​​​selepas pulih antara 1998 dan 2008. Majlis Penasihat Ekonomi Negara telah mengenal pasti antara isu yang berkait dengan produktiviti pasaran buruh.

“(Sebelum ini), pihak majikan memerlukan kos yang sangat tinggi jika mereka mahu memberhentikan pekerja bagi melaksanakan automasi. Lebih mudah bagi mereka​​​​​​​ meneruskan perniagaan seperti (tanpa automasi) atau mengimport ​​​​​​​buruh kerana lebih mudah untuk mereka membawa masuk pekerja asing,” katanya.

Norma berkata, Korea Selatan telah membuat pembaharuan kepada dasar buruhnya pada 1980an.

Mengikut Dasar Perlindungan Buruh negara itu, apabila pekerja diberhentikan, majikan​​​​​​​ mempunyai perlindungan secukupnya untuk membayar pekerja mereka, katanya.

“Jadi, apa yang kerajaan bentangkan di Dewan Rakyat itu adalah mengenai pembaharuan dasar perlindungan sosial kita serta perubahan pasaran buruh. Apabila sistem baharu itu dilaksanakan, ia bukan hanya melindungi pekerja semasa krisis ekonomi malah penambahbaikan untuk majikan.

“Dengan pelaksanaan SIP, lebih murah bagi syarikat untuk memberhentikan pekerja dan menggunakan teknologi tinggi. Kita bercakap mengenai pendigitalan perniagaan. Jika kerajaan tidak melaksanakan skim ini bagi melindungi golongan pekerja, apa yang akan berlaku kepada mereka (sekiranya diberhentikan)?,” katanya.

Norma berkata, SIP akan membayar gaji pekerja selama enam bulan berdasarkan jumlah yang berkurangan setiap bulan bagi menghalang penyalahgunaan pendapatan dan pekerja yang diberhentikan​​​​​​​perlu membuktikan mereka sedang mencari pekerjaan lain.

Rang Undang-undang itu akan dibentangkan untuk kali kedua di Dewan Rakyat minggu depan.-Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Hubungan ekonomi yang kukuh dengan negara seperti Amerika Syarikat (AS) penting bagi Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan prestasi perdagangan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
  • KUALA LUMPUR - Ekonomi global dijangka berkembang 3.7 peratus tahun depan daripada 3.6 peratus yang diunjurkan untuk 2017, dipacu oleh pertumbuhan mampan di negara maju serta prestasi ekonomi pasaran membangun yang berkembang pesat dan ekonomi membangun (EMDE).
  • PUTRAJAYA - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini mengingatkan warga kementerian itu dan penjawat awam amnya, agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan Malaysia negara bankrap yang disebarkan menerusi media sosial.
  • KUALA LUMPUR - Ekonomi digital merupakan trend yang semakin berkembang dalam landskap perniagaan global, dengan jumlah organisasi, perniagaan dan pelabur yang melaksanakannya semakin meningkat.
  • PETALING JAYA - Tindakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia untuk meningkatkan unjuran pertumbuhan Malaysia tahun ini adalah pengesahan yang negara ini berada di landasan betul untuk mencapai pertumbuhan tinggi dan menafikan tuduhan pengkritik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.