KUALA LUMPUR - Sikap Pengarah Invoke Malaysia, Rafizi Ramli yang disifatkan sebagai pembohong tegar akan meruntuhkan kredibiliti pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Rafizi sebenarnya telah mengaibkan Pakatan Harapan.

"Saya harap Rafizi berhenti jadi pembohong bersiri yang tegar dan takutlah kepada ALLAH.

"Dia tahu dia salah, dia fitnah, maka dia cepat-cepat padamkan video dan Tweet dia bagi mengelakkan berita terus tersebar, saya harap Rafizi berhenti jadi pembohong bersiri yang tegar dan takutlah kepada ALLAH," katanya lagi.

Beliau dalam sidang media hari ini turut menafikan memberikan tender penganjuran Ekspo Negaraku kepada syarikat milik abangnya.

Menurut Abdul Rahman, beliau tidak ada apa-apa pertalian kekeluargaan mahupun persahabatan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pico Integrated Exhibition Sdn Bhd, Nooraslan Mohd Dahlan yang merupakan kontraktor pelaksana ekspo berkenaan.

Rafizi sebelum ini mengaku telah membuat semakan maklumat berkenaan penganjuran ekspo berkenaan sebelum pendedahan dibuat menerusi sidang media Invoke Malaysia, kira-kira jam 1.30 tengahari, hari ini.

Rafizi berkata, beberapa semakan dan maklumat yang dilakukan membuatkan beliau yakin individu bernama Nooraslan Mohd Dahlan, yang mana Ketua Pegawai Eksekutif Pico Integrated Exhibition Sdn Bhd, merupakan abang kepada Abdul Rahman.

Abdul Rahman dalam masa sama turut memohon maaf kepada Nooraslan yang dikatakan terjebak dengan fitnah yang dimainkan Rafizi.

"Saya minta maaf daripada pihak kerajaan kerana mempunyai pembangkang yang suka memfitnah," kata Abdul Rahman kepada Nooraslan dalam sidang media sama.

Nooraslan ketika ditanya sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi menjawab, pihaknya enggan memberi sebarang maklum balas ketika ini.